IPOH: Selepas tiga minggu diburu, dua beradik yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun peniaga wanita di sebuah gerai ‘nasi bajet’ di Lebuh Meru Raya di sini, akhirnya diberkas polis, 8 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dua lelaki berusia 24 dan 36 tahun ditahan di Teluk Intan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes kecurian yang tular di media sosial dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, kedua-dua suspek juga dipercayai terlibat dalam beberapa lagi kes jenayah di daerah Ipoh.
“Suspek kini direman sehingga 12 Jun ini (esok) bagi membantu siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, kedua-dua suspek dipercayai turut terlibat dalam kes kecurian tabung masjid di kawasan Perak Tengah dan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian pada 21 Mei lalu sekitar pukul 12 tengah hari, seorang wanita berdepan detik cemas apabila dua lelaki menunggang motosikal yang menyamar sebagai pelanggan melarikan peti wang mengandungi wang tunai berjumlah RM300 dan sebuah telefon bimbit.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 25 saat yang dirakam peniaga wanita terbabit ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok.
Difahamkan, telefon bimbit milik mangsa jenis iPhone 13 telah ditemui selepas dipercayai dicampak di kawasan perumahan di Halaman Meru Aman di sini pada hari sama kejadian berlaku. – UTUSAN










