PETALING JAYA: SP Setia Berhad berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan RM4 bilion tahun ini apabila berjaya merekodkan jumlah jualan RM1.67 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022.
Dalam tempoh itu, SP Setia turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM253.4 juta, sementara pendapatannya sebanyak RM1.89 bilion.
Jualan syarikat pemaju hartanah itu didorong terutamanya projek tempatan yang menyumbang RM1.38 bilion atau kira-kira 83 peratus daripada jualan, manakala baki RM294 juta disumbangkan terutamanya daripada jualan antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, dalam tempoh dikaji, inventori siap bernilai RM272 juta telah dijual dan RM559 juta tempahan telah diperoleh.
“Walaupun menghadapi cabaran yang dihadapi industri hartanah berikutan kos bahan binaan yang tinggi, kekurangan tenaga kerja, kitaran menaik kadar faedah dan tekanan inflasi, pembeli rumah berpotensi masih mencari hartanah di perbandaran yang dibangunkan.
“Itu petanda baik untuk SP Setia kerana Kumpulan terkenal dengan perbandaran berkualiti dan mengutamakan kemudahan. Ramai pembeli berpotensi menyedari kepentingan memiliki rumah yang melengkapkan gaya hidup mereka di bawah norma baharu.
“Pengumuman pengecualian duti setem 100 peratus untuk pembeli rumah pertama bagi hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah melalui i-Miliki akan membantu mempercepatkan pemulihan pasaran hartanah,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku dalam tinjauan, Kumpulan itu telah melancarkan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM300.7 juta terdiri daripada rumah teres dua tingkat, berkembar dan banglo.
Kadar ambilan bagi fasa baharu Setia Eco Templer melebihi 90 peratus dan pelancaran lain yang berjaya juga didapati dalam perbandaran seperti Setia Eco Glades.
Menurut syarikat itu, usaha berterusan dilakukan untuk meningkatkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam peringkat konsep, reka bentuk dan pembinaan projek Kumpulan berikutan peningkatan penekanan terhadap kemampanan dan mitigasi perubahan iklim.
Sebagai contoh, jelasnya, perkongsian strategik dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk menyediakan tempat kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui kepada bakal pembeli rumah adalah selaras dengan komitmen Kumpulan untuk menggalakkan tenaga hijau dan mengurangkan pelepasan karbon.
Selain itu katanya, inisiatif pengurangan kos sedang digunakan merentasi operasi seluruh Kumpulan selari dengan pelbagai kempen promosi untuk meningkatkan jualan dan membersihkan inventori yang tidak terjual.
“Gangguan dua tahun ini juga membolehkan kami meneroka bidang pembangunan baharu untuk membantu skala perniagaan, yang membolehkan kami membangunkan kecekapan baharu di seluruh Kumpulan dan mempelbagaikan ke dalam aliran pendapatan berpotensi baharu.
“Satu daripada kepelbagaian itu adalah dalam industri perkhidmatan perubatan, yang mana kami telah mengumumkan kerjasama dengan Qualitas Medical Group Sdn. Bhd. untuk menubuhkan pusat jagaan ambulatori di Setia Alam sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian pendapatan kami,” katanya lagi.
Kumpulan kini dipacu 47 projek yang sedang dijalankan dengan baki tanah sebanyak 2,816.8 hektar, sementara GDV berjumlah RM120.88 bilion setakat 30 Jun 2022, disokong jualan belum dibil berjumlah RM8.71 bilion, yang memberikan keterlihatan pendapatan dalam jangka pendek hingga pertengahan. – UTUSAN










