fbpx

Singapura turunkan unjuran KDNK 2022

JUMLAH kekayaan 50 orang terkaya di Singapura jatuh lebih 20 peratus di sebalik usaha menarik lebih ramai individu kaya memasuki negara itu. - AGENSI

SINGAPURA: Ekonomi Singapura pada suku kedua (S2) berkembang kurang daripada jangkaan kerajaan, menurut data rasmi yang dikeluarkan semalam.

Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, namun ia lebih rendah daripada unjuran sebanyak 4.8 peratus yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Pada asas pelarasan musim suku ke suku, ekonomi menguncup 0.2 peratus, berbanding anggaran awal kerajaan 0 peratus dan pertumbuhan 0.8 peratus pada suku pertama.

MTI berkata, ia telah mengecilkan unjuran pertumbuhan KDNK negara untuk tahun ini kepada 3 hingga 4 peratus daripada jangkaan awal sebanyak 3 hingga 5 peratus.

Penurunan tersebut disebabkan persekitaran ekonomi global semakin lemah di tengah-tengah cabaran seperti inflasi dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan.

“Persekitaran ekonomi global “lebih teruk” sejak penilaian terakhir pada Mei. Tinjauan permintaan luar untuk ekonomi Singapura telah lemah berbanding tiga bulan lalu,” kata MTI dalam laporannya.

Tekanan inflasi yang lebih kuat daripada jangkaan dan pengetatan dasar monetari yang agresif oleh bank-bank pusat dijangka mempengaruhi pertumbuhan dalam ekonomi maju utama, seperti Amerika Syarikat dan Zon Euro.

China terus bergelut dengan kemerosotan pasaran hartanah yang semakin teruk dan wabak Covid-19 domestik yang berulang. Selain itu, gangguan rantaian bekalan berkemungkinan berterusan sepanjang tahun ini memandangkan faktor seperti konflik Rusia-Ukraine dan dasar sifar Covid China kekal.

Sementara itu, risiko penurunan dalam ekonomi global kekal “ketara”.

Ia termasuk kemungkinan peningkatan lanjut dalam perang Ukraine, pelarasan pasaran yang tidak teratur terhadap pengetatan dasar monetari dalam ekonomi maju, peningkatan dalam ketegangan geopolitik serantau dan trajektori wabak Covid-19.

“Ini bermakna prospek beberapa sektor berorientasikan luar di Singapura telah malap,” kata MTI.

Sebagai contoh, prospek pertumbuhan kelompok bahan kimia Singapura dan segmen bahan api dan kimia serta sektor perdagangan borong telah terjejas teruk oleh prospek ekonomi yang semakin lemah di China, yang merupakan pasaran utama bagi produk petroleum dan kimia dari Singapura.

Pertumbuhan dalam pengangkutan air dan sektor kewangan serta insurans juga dijangka terjejas oleh unjuran kelembapan dalam ekonomi luar utama.

Singapura sebaliknya, telah beralih kepada `hidup bersama Covid-19′ dengan penghapusan hampir semua sekatan domestik dan sempadan. Ia seterusnya menyokong pemulihan beberapa segmen ekonomi seperti sektor berkaitan penerbangan dan pelancongan. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!