Insentif, hadiah kemenangan Liga Super tidak berubah

Insentif, hadiah kemenangan Liga Super tidak berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Insentif dan hadiah kemenangan bagi pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2025-2026 masih kekal seperti agihan pada musim lalu.

Berdasarkan sistem agihan itu, semua pasukan Liga Super akan mendapat agihan rata sebanyak RM500,000 dan jumlah agihan merit pula mengikut kedudukan.

Bagi agihan merit, juara akan memperoleh hadiah kemenangan sebanyak RM1.9 juta manakala naib juara dan pasukan tangga ketiga meraih RM1.4 juta dan RM1 juta.

“Buat masa ini, apa sahaja yang membabitkan insentif atau hadiah kemenangan berdasarkan kedudukan liga masih kekal, tiada perubahan,” kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd.

Bermula pada musim 2023, MFL buat kali pertama memperkenalkan agihan pendapatan berasaskan merit yang mana semua pasukan akan mengetahui dengan jelas peningkatan pulangan mereka berdasarkan kedudukan di tangga liga.

Selain itu, Mohd Shazli menganggap ketiadaan tiga pasukan ternama termasuk Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC pada musim 2025-2026 tidak menjejaskan aspek penajaan Liga Super.

Beliau berkata, pihaknya melihat perkembangan itu dari sudut positif yang mana saingan Liga Super dianggap tetap meriah dengan kehadiran kelab baharu yang menggantikan slot pasukan berkenaan.

“Kami melihat perkara ini dari sudut lebih baik yang mana liga mendapat tiga pasukan baharu yang menggantikan slot itu iaitu Melaka FC, Imigresen FC dan Brunei DPMM FC.

“Kehadiran ketiga-tiga pasukan dapat memberi impak positif kepada liga dan juga mendapatkan tajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN