PETALING JAYA: Syarikat penyelesaian pengurusan modal insan (HCM) tempatan dan pembekal teknologi, Ramssol Group Berhad (Ramssol) mencatatkan hasil sebanyak RM14.85 juta bagi separuh pertama 2022, meningkat 16.14 peratus daripada RM12.79 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan hasil terutamanya disebabkan oleh kesinambungan projek untuk penyediaan HCM dan penyelesaian pengurusan pelajar untuk beberapa pelanggan baharu di Malaysia sejak tahun kewangan lalu.
Dalam tempoh sama, syarikat merekodkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) dan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) masing-masing berjumlah RM1.86 juta dan RM1.84 juta.
Pada asas suku tahunan, syarikat mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM6.47 juta dalam suku kedua 2022 berbanding RM7.71 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan jualan lebih rendah yang dijana untuk peruntukan daripada aplikasi teknologi HCM di Malaysia kerana kebanyakan pencapaian daripada projek telah disiapkan pada 2021.
Bagi suku dalam tinjauan, syarikat mencatatkan PBT dan PAT masing-masing sebanyak RM1.02 juta dan RM1.01 juta.
Berdasarkan pembahagian geografi untuk suku kedua 2022, Malaysia kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah hasil syarikat pada 85.87 peratus atau RM5.56 juta, diikuti Singapura pada 9.36 peratus atau RM0.61 juta dan Thailand pada 2.64 peratus atau RM0.17 juta, manakala pasaran lain menyumbang 2.13 peratus atau RM0.14 juta.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, dengan pelonggaran sekatan Covid-19 sejak akhir 2021, perniagaan dan institusi pendidikan telah pulih, dibantu oleh penambahbaikan pasaran buruh, pembukaan semula sempadan dan bantuan dasar oleh kerajaan.
“Namun, kami menjangkakan tahun ini akan terus mencabar memandangkan konflik Rusia dan Ukraine yang berterusan dan situasi global Covid-19 yang berpanjangan.
“Kami masih komited untuk menunjukkan pertumbuhan yang mampandan syarikat percaya pendigitalan akan terus meningkat di Malaysia dan Asia Tenggara berikutan keperluan yang semakin meningkat untuk transformasi digital perniagaan termasuk keperluan untuk pendigitalan fungsi sumber manusia yang akan berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhannya, syarikat akan terus mencari kemungkinan untuk mengembangkan segmen EduTech, berikutan kejayaannya dalam melengkapkan institusi pendidikan tinggi.
“Kami mengekalkan pandangan positif mengenai prospek kami untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan akan berusaha untuk terus mengembangkan penyelesaian teknologi sumber manusia kami yang inovatif kepada lebih ramai pelanggan,” katanya. – UTUSAN










