Produktiviti buruh meningkat 5.5 peratus

Produktiviti buruh meningkat 5.5 peratus

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Produktiviti Buruh Malaysia meningkat sebanyak 5.5 peratus bagi suku kedua 2022 dengan mencatatkan RM23,322 bagi setiap pekerja, berbanding 2.7 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertumbuhan pada suku tersebut lebih tinggi berbanding pencapaian keseluruhan 2021 sebanyak 1.8 peratus.

Katanya, produktiviti berdasarkan jam bekerja pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus dengan RM41.0 setiap jam bekerja.

“Pertumbuhan produktiviti buruh ini selaras dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkembang sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua. Pencapaian ini berikutan langkah pemansuhan semua sekatan yang dikenakan semasa pandemik dan pembukaan semula sempadan negara serta peralihan ke fasa endemik bermula 1 April.

“Peningkatan ini dipacu oleh produktiviti dalam sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 7.5 peratus, sektor pembuatan sebanyak 4 peratus dan sektor pembinaan sebanyak 2.9 peratus.

“Walau bagaimanapun, produktiviti buruh bagi sektor perlombongan dan pengkuarian dan pertanian mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan oleh penguncupan pertumbuhan bagi kedua-dua sektor ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mustapa berkata, jam bekerja bagi sektor perkhidmatan pula mencatatkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus berbanding 1.2 peratus pada suku sebelumnya,  namun empat sektor utama iaitu pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, pertanian serta pembuatan mencatatkan penurunan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kadar pertumbuhan produktiviti disasarkan sebanyak 3.6 peratus setahun. Dasar dan strategi yang dilaksanakan di bawah RMKe-12 dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh.

“Antara strategi tersebut termasuk mewujudkan Nexus Produktiviti bagi merangka dan meneraju pelan tindakan di peringkat perusahaan.

“Sembilan Nexus Produktiviti yang diterajui oleh jaguh industri telah diwujudkan bagi subsektor agromakanan, kimia dan produk kimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, peruncitan dan makanan dan minuman, pelancongan, digital, perkhidmatan profesional dan penjagaan kesihatan swasta,” ujarnya.

Tambah Mustapa, berdasarkan pencapaian bagi separuh pertama tahun ini sebanyak 4.1 peratus, pertumbuhan produktiviti buruh bagi keseluruhan tahun 2022 dijangka melepasi sasaran RM Ke-12 sebanyak 3.6 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN