
PIHAK kerajaan perlu melakukan proses pemantauan yang lebih ketat dan serius terhadap proses pelaksanaan Perintah Gaji Minimum dalam negara kita. Ini amat penting bagi memastikan tiada majikan yang masih engkar untuk melaksanakan Perintah Gaji Minimum berkenaan dan tiada pekerja yang dinafikan hak mereka untuk menerima gaji minimum selaras dengan pengumuman yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan baru–baru ini.
Semenjak akhir–akhir ini sering kedengaran pelbagai isu yang melibatkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum dalam negara kita dimana ada sesetengah pekerja yang mengadu majikan mereka masih belum sudi untuk melaksanakan Perintah Gaji Minimum selaras dengan pengumuman oleh pihak kerajaan baru–baru ini, aduan daripada pekerja berhubung tindakan sesetengah pihak majikan yang memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu serta penangguhan sepenuhnya pelaksanaan Perintah Gaji Minimum terbabit terhadap para pekerja oleh sesetengah majikan tanpa sebarang sebab yang munasabah.
Semua isu berbangkit ini perlu dipandang serius dan disiasat dengan segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain serta mencetuskan kekeliruan dikalangan orang ramai khususnya dikalangan para pekerja yang sedang hadapi masalah kewangan akibat daripada kenaikan kos sara hidup yang berlaku pada ketika ini.
Sebelum ini pihak kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei 2022 di seluruh negara dengan pengecualian diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja. Bagaimanapun pelaksanaan gaji minimum itu akan berkuat kuasa sepenuhnya menjelang pertengahan 2023.
GAJI MINIMUM BERMULA 1 MEI 2022
Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang bermula pada 1 Mei 2022 yang lalu membabitkan seseorang majikan yang mengambil kerja lima orang pekerja atau lebih. Mengikut Seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] “gaji minimum” ertinya gaji pokok yang akan ditetapkan atau sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 23 Akta 732. Gaji minimum ialah gaji pokok seperti yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2022. Ia tidak termasuk elaun, insentif atau apa–apa bayaran tambahan yang dibuat kepada pekerja.
Perintah Gaji Minimum ini terpakai kepada semua pekerja di sektor swasta yang bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan kecuali perkhidmat domestik (Pembantu rumah, tukang kebun, tukang masak dalam rumah persendirian). Mengikut Seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] “kontrak perkhidmatan” ertinya apa–apa perjanjian,sama ada secara lisan atau bertulis, dan sama ada nyata atau tersirat, yang menurutnya seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seorang yang lain sebagai pekerja dan orang yang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja, tetapi tidak termasuk kontrak perantisan. Perintah Gaji Minimum 2022 ini berkuatkuasa mulai 1 Mei 2022 menggantikan Perintah Gaji Minimum 2020.
Warta Perintah Gaji Minimum 2022 seperti yang telah diterbitkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara memaklumkan, ketetapan itu terpakai membabitkan majikan tanpa mengira bilangan pekerja diambil dan menjalankan aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) sebagaimana diterbitkan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).
TIDAK DIBAYAR GAJI POKOK
Berhubung dengan seseorang pekerja tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadarmgaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 hendaklah tidak kurang daripada RM1,500. Perenggan ini terpakai bagi pekerja yang diambil kerja oleh seseorang majikan yang mengambil kerja lima orang pekerja atau lebih. Dalam pada itu, warta ini menyebut pengecualian pelaksanaan gaji minimum itu pada 1 Mei ini dengan membabitkan majikan mengambil pekerja kurang daripada lima orang pekerja apabila pelaksanaannya pada 1 Januari 2023.
Berhubung seseorang pekerja tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada pekerja itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 hendaklah tidak kurang daripada RM1,500. Perenggan ini terpakai bagi pekerja diambil kerja oleh seseorang majikan yang mengambil kerja kurang daripada lima orang pekerja jelas warta itu. Kadar baru gaji minimum ini terpakai kepada semua pekerja swasta kecuali pekhidmat domestik. Pekerja swasta ertinya mana–mana orang atau golongan orang yang dinyatakan dalam jadual yang berikut iaitu Jadual Pertama Akta Kerja 1955 [Akta 265], Jadual Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Jadual Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76).
SATU KESALAHAN
Adalah menjadi satu kesalahan kepada mana–mana pihak majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum ini. Seskyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta
732] jelas menyatakan “Majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap pekerja”. Seksyen 44 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] juga memperuntukkan bahawa “(1) Jika seseorang majikan disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 43, mahkamah yang di hadapannya majikan itu disabitkan boleh memerintahkan supaya majikan itu membayar (a) perbezaan antara kadar gaji minimum sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum dengan gaji pokok yang dibayar oleh majikan kepada pekerja, termasuk perbezaan yang belum selesai dibayar; dan (b) bayaran lain yang terakru daripada pengiraan gaji berdasarkan gaji pokok yang hendaklah mengikut kadar gaji minimum sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah gaji minimum.
(2) Pengiraan perbezaan dan bayaran lain yang terakru di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat mengikut Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak, mengikut mana-mana yang berkenaan. (3) Jika seseorang majikan tidak mematuhi mana – mana perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1), mahkamah hendaklah, atas permohonan pekerja, mengeluarkan suatu waran untuk melevi harta majikan itu bagi perbezaan dan bayaran lain yang terakru di bawah subseksyen (1) mengikut cara yang berikut: (a) secara distres dan penjualan harta majikan itu mengikut tatacara yang sama seperti pelaksanaan di bawah Kaedah – Kaedah Mahkamah Rendah 1980 [P.U. (A) 328/80] dan pelaksanaan ini hendaklah terpakai mutatis mutandis walau apa pun amaun dalam perintah itu; atau (b) mengikut cara yang sama seperti suatu denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Seksyen 46 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] juga memperuntukkan “Mana–mana orang yang disabitkan dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini boleh, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, dikenakan, sebagai tambahan kepada apa – apa penalti lain yang dia bertanggungan di bawah Akta ini berkenaan dengan kesalahan itu, denda harian yang tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan”.
Seksyen 47 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] juga memperuntukkan “Mana – mana orang yang disabitkan dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini boleh, dalam hal suatu kesalahan yang berulang, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun”.
Perintah Gaji Minimum 2012 yang mula berkuat kuasa pada Januari 2013 telah menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM900 (atau RM4.33 sejam) di Semenanjung dan RM800 (atau RM3.85 sejam) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setelah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu pada Mei 2012. Kajian semula kadar gaji minimum ini telah dilakukan selaras dengan peruntukkan undang – undang dan mulai 1 Julai 2016 ia ditetapkan pada RM1,000 sebulan (atau RM4.81 sejam) bagi Semenanjung manakala kadar RM920 sebulan (atau RM4.42 sejam) ditetapkan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pada proses pembentangan Bajet 2019 yang lalu pihak kerajaan telah bersetuju untuk menyelaraskan kadar gaji minimum di seluruh negara pada kadar RM1,100. selaras dengan kehendak Seksyen 25 (1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] yang menetapkan kadar gaji minimum dalam negara kita dikaji sekurang – kurangnya sekali dalam tiap – tiap dua tahun.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020. Pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang berkaitan sebelum mengambil sebarang langkah akhir terhadap penetapan kadar gaji minimum ini terutamanya pandangan orang ramai, serta badan – badan yang yang berkaitan yang mewakili pihak pekerja dan majikan seperti pihak Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) dan pihak Persekutuan Majikan – Majikan Malaysia (MEF). Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732]. Bagi mengatasi masalah kos sara hidup pada masa kini, pihak kerajaan juga disaran untuk memperkenalkan beberapa bentuk elaun baru khusus kepada pekerja tempatan yang menerima gaji minimum ini bagi membantu serta mengurangkan masalah kos sara hidup yang terpaksa dilalui oleh pekerja selain daripada menaikkan kadar gaji minimum pekerja dalam negara kita.
Mana – mana pekerja yang merasakan diri mereka teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya selaras dengan pengumuman Perintah Gaji Minimum baru – baru ini boleh membuat aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan segera. – UTUSAN









