SHAH ALAM: Syarikat pembangunan hartanah, Majuperak Holdings Berhad (MHB) menyasarkan jualan 153 unit kondominium pada projek perumahan terbaharunya, Nexus Residences yang dijangka sedia untuk diduduki pada 2026.
Unit kondominium ditawarkan dalam pelbagai variasi dengan keluasan antara 1,309 kaki persegi (kps) hingga 1,700 kps pada harga sekitar RM803,400 hingga RM1.02 juta.
Turut ditawarkan adalah sebuah penthouse seluas 5,511 kps yang terletak di tingkat paling atas bangunan 26 tingkat itu yang dibina atas tapak seluas hampir satu hektar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Nizran Noordin, beliau menyasarkan pembeli dalam kalangan belia dan yakin harga tersebut kompetitif walaupun berdepan dengan kekangan kenaikan harga bahan binaan.
“Beberapa tawaran menarik bakal memikat prospek pembeli membeli kondominium di situ. Kami menawarkan diskaun 10 peratus kepada beberapa pembeli awal dan tiada wang tempahan yang dikenakan untuk menempah unit kondominium.
“Selain itu, pengecualian duti setem pada kadar 50 peratus kepada pembeli rumah pertama yang diperkenalkan kerajaan ketika ini juga mungkin tidak mahu dilepaskan oleh bakal pembeli bagi membeli rumah sulung mereka,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Nexus Residences di Seksyen 27, di sini, semalam.
Gimik upacara majlis itu disempurnakan Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Nexusbase Development Sdn. Bhd. (NDSB), Datuk Lee Seng Khoon.
Bagaimanapun, Nizran menambah, pihaknya masih belum menetapkan harga bagi unit penthouse berkenaan, namun projek pembinaan Nexus Residences akan bermula suku keempat tahun ini.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kenaikan beberapa harga barang binaan memberikan kesan terhadap kos pembinaan projek itu.
Namun menurutnya, MHB mengambil beberapa langkah bagi memastikan kos pembinaan masih terkawal sehingga terpaksa menilai semula harga jualan seunit kondominium. – UTUSAN









