Malaysia sokong kestabilan harga minyak mentah global - Utusan Malaysia

Malaysia sokong kestabilan harga minyak mentah global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia selaku negara anggota OPEC+ melahirkan sokongan ke atas usaha produktif kumpulan itu bagi mengekalkan kestabilan pasaran harga minyak mentah sejagat.

Perkara tersebut disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai mengulas isu situasi trend ketidaktentuan harga bahan bakar itu.

Menurut beliau menerusi kenyataan di sini hari ini, harga komoditi itu di pasaran antarabangsa masih belum stabil terutama susulan daripada pemulihan semula pasca pandemik Covid-19.

“Begitu juga tekanan inflasi yang meningkat dan kebimbangan kekurangan bekalan makanan, cabaran geopolitik dan perubahan iklim yang menjejaskan petunjuk ekonomi utama,” jelasnya.

OPEC+ merupakan kumpulan longgar negara pengeluar minyak global di luar daripada badan formal rasmi iaitu Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang disertai 13 negara..

Kelompok bebas ini pula sebaliknya hanya dianggotai sejumlah 11 negara iaitu Azerbaijan, Bahrain, Brunei, Filipina, Kazakhstan, Malaysia, Mexico, Oman, Rusia, Sudan dan Sudan Selatan.

Kumpulan ini dibentuk hasil menerusi Deklarasi Kerjasama yang ditandatangani pada 10 Disember 2016 lalu bagi mengimbangi tawar menawar harga petroleum dilakukan OPEC sejak 1960.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berdasarkan tinjauan prospek jangka panjang yang tidak menentu, Malaysia kekal berpendirian teguh terhadap komitmen bagi menyokong usaha OPEC+.

“Kelompok ini memiliki mekanisme yang mantap dalam mendepani cabaran pasaran termasuk sistem penyelarasan pengeluaran minyak dan terbukti pernah efektif sebelum ini,” jelas beliau.

Sehubungan itu ujarnya, kesemua negara anggota OPEC+ tetap bekerjasama rapat dalam menerajui usaha padu ke arah memastikan berlaku trend kestabilan harga pasaran minyak dunia.

Bahkan tambah beliau lagi, susulan kejanggalan yang berlaku dalam pasaran tenaga pada ketika ini, Malaysia percaya bahawa kerjasama erat sebegini harus diteruskan dengan lebih mantap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN