Kepimpinan bukan sekadar jawatan, tetapi, lebih kepada suatu amanah yang menuntut keikhlasan, komitmen dan kerja keras.” Demikian kata-kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim, yang kini berada dalam penggal ketiganya sebagai wakil rakyat.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu bukan sahaja mewakili lebih 30,000 penduduk DUN Sungai Pinang, malah, turut memegang tanggungjawab besar sebagai Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri dalam kerajaan negeri sejak dua tahun lalu.

Lim Siew Khim
Usia : 54
Jawatan : ADUN Sungai Pinang; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam
Asal : Pulau Pinang
Parti : DAP
Bagi Siew Khim, setiap langkah dalam perjalanan dunia politiknya adalah rezeki daripada Tuhan yang datang bersama usaha gigih dan prinsip kerja yang jelas.
“Saya percaya untuk benar-benar turun padang, memahami isu rakyat, mengurus kes satu demi satu dengan penuh tanggungjawab, bukan hanya muncul ketika ada publisiti,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Siew Khim, perjalanan politiknya bermula seawal tahun 1992 ketika beliau masih seorang pelajar sepenuh masa, apabila dilantik sebagai Pegawai Seranta sambilan di Pusat Khidmat ADUN Datuk Keramat.
“Menjelang 1997, saya diberi kepercayaan sebagai Chief of Staff oleh DAP Pulau Pinang, sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Kemuncak kerjaya saya adalah apabila saya dipilih sebagai ADUN Sungai Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan seterusnya diberi mandat oleh pengundi sehingga ke hari ini,” katanya.
Siew Khim berkata, seiring dengan aspirasi Penang2030, visinya terhadap DUN Sungai Pinang adalah untuk membentuk sebuah komuniti sejahtera dan mesra keluarga.
“Antara fokus utama yang saya lakukan di Sungai Pinang termasuk menangani isu pencemaran Sungai Pinang yang berpunca dari kawasan hulu seperti Air Itam, Paya Terubong dan Datuk Keramat.
“Saya sentiasa menjalankan sesi libat urus bersama JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar kerja-kerja pembersihan sungai lebih berkesan. Pada masa sama, kesedaran penduduk juga sentiasa dipertingkatkan.
“Namun, saya akui bahawa isu pencemaran sungai bukan boleh diselesaikan dalam masa singkat. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan berterusan,” katanya.
Selain itu, Siew Khim memberitahu, masalah banjir kilat di Sungai Pinang turut diberi perhatian menerusi pembinaan dua kolam takungan di Kampung Rawa dan Serina Bay selain pembinaan rumah pam di Pokok Asam.
“Semua inisiatif ini secara tidak langsung telah mengurangkan risiko banjir secara ketara kepada penduduk,” jelasnya.
Kata Siew Khim lagi, kesesakan lalu lintas di kawasan utama seperti Jalan Jelutong dan Jalan Sungai Pinang pula ditangani melalui kerjasama dengan agensi teknikal serta perancangan jangka panjang termasuk melalui projek LRT.
Dari segi kebajikan pula, ujar beliau, Pusat Khidmat DUN Sungai Pinang sentiasa membantu golongan yang kurang berkemampuan melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zakat Pulau Pinang serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
“Antara bantuan yang disalurkan pula termasuk bantuan persekolahan, bantuan perayaan, dan program sokongan untuk keluarga kurang berkemampuan atau B40.
“Selain itu, pembangunan komuniti turut diberi keutamaan dengan pembinaan gelanggang sukan seperti ‘pickleball court’, gelanggang bola keranjang dan futsal,” kata beliau.
Tambah Siew Khim, beberapa taman awam seperti Taman Areca, Taman Bukit Dambar dan Taman Karpal Singh turut dinaik taraf agar menjadi ruang riadah yang kondusif dan selamat.
“Dulu, kita hanya ada pocket park (taman mini). Kini, kita gabungkan ia dengan pelan tebatan banjir yang lebih lestari,” katanya.
Ujar beliau, satu lagi inisiatif yang dekat di hatinya adalah usaha untuk menghapuskan pembiakan nyamuk aedes melalui gotong-royong dan kempen search and destroy bersama komuniti serta jabatan kesihatan.
“Hasilnya, kes denggi di kawasan Sungai Pinang kini lebih terkawal dan usaha ini akan diteruskan secara lebih konsisten,” katanya.
Sementara itu, sebagai satu-satunya Exco wanita dalam kerajaan negeri, Siew Khim turut memperjuangkan dasar inklusiviti dalam kalangan jantina seperti dasar keterangkuman jantina dan polisi keluarga selamat.
Siew Khim berkata, usaha ini termasuk memperluaskan akses latihan kemahiran dan sokongan ekonomi untuk wanita B40 agar lebih berdikari.
Katanya, menyedari bahawa menjelang tahun 2040 Pulau Pinang dijangka mempunyai jumlah warga emas tertinggi di Malaysia, kerajaan negeri telah mula mengambil langkah ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai Bandar Mesra Usia menjelang 2028.
“Antara inisiatif yang disusun ke arah itu termasuk penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap kawasan Parlimen serta Program Sukarelawan Mutiara yang membantu warga emas dan OKU (orang kurang upaya) yang tinggal bersendirian.
“Bagi saya, setiap aduan rakyat itu penting. Walaupun hanya satu kes, ia tetap perlu diselesaikan,” katanya.
Tambah Siew Khim, dengan semangat berpasukan yang utuh serta ditambah dengan sokongan rakyat yang berterusan, beliau yakin Sungai Pinang akan terus membangun sebagai kawasan progresif, inklusif dan mesra keluarga.- UTUSAN










