Baca, baca dan baca sebelum menulis

Baca, baca dan baca sebelum menulis

FORUM Penulis Muda yang dianjurkan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan GEMA Kali Ke-34 2025 dengan dihadiri oleh hampir 50 ahli yang berdaftar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seruan agar manusia membaca telah menjadi ayat sulung al-Quran melalui perkataan iqra yang bermaksud ‘bacalah’.

Ia memberikan satu interpretasi jelas bahawa amalan membaca adalah kunci kepada gerbang ilmu yang bermanfaat kepada proses lain dalam kehidupan termasuklah penulisan.

Amat mustahil bagi seorang penulis untuk menghasilkan karya hebat dan berimpak tanpa membaca hasil-hasil karya terdahulu sama ada dalam genre kreatif atau deskriptif. Penulis juga perlu mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang dan isu, yang mana ia hanya boleh diperoleh melalui membaca selain pengalaman sendiri.

Begitulah pesan Dr. Fahd Razy atau nama sebenar beliau, Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam sesi Forum Penulis Muda anjuran

Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) baru-baru ini di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau yang dijemput sebagai ahli panel forum tersebut menyeru agar penulis bukan sekadar menulis tetapi turut menjadikan amalan membaca untuk membina gedung ilmiah di dalam minda dan karya-karya mereka.

Melalui tema forum iaitu ‘Membaca, Memimpin: Membongkar Rahsia Penulis Muda Berjaya’, Dr. Fadh Razy turut mengaitkan sifat kepimpinan yang terbina melalui amalan pembacaan yang baik. Ini kerana pemimpin yang berilmu akan mampu menjalankan urusan pentadbiran dengan kebijaksanaan yang dimiliki melalui pengetahuan yang dibaca dan dialami sendiri.

Beliau yang merupakan seorang doktor perubatan turut berkongsi pengalaman dalam dunia penulisan yang penuh cabaran. Berlatar belakang pendidikan Sains, Dr. Fahd Razy tidak pernah berputus asa meneruskan pelayaran sastera yang berliku dengan sentiasa menambah ilmu melalui pembacaan yang tiada pelabuhan.

Justeru, karya-karya sastera beliau kerap mendapat inspirasi daripada ilmu dan pengalaman sebagai seorang doktor perubatan yang digarap secara kreatif dan puitis untuk manfaat pembacaan umum.

Hal yang sama dipersetujui dan disokong oleh ahli panel kedua forum tersebut iaitu Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub atau sohor dikenali sebagai Nimoiz T. Y. Turut mempunyai latar belakang bukan pengajian sastera, beliau seorang pensyarah bidang kejuruteraan telah menceritakan pengalaman membaca cerpen-cerpen penulis tempatan yang berimpak di hati.

Cerpen Pusaran karya SN S. Othman Kelantan yang menceritakan hubungan akrab seorang budak lelaki dengan seekor lembu jantan berjaya meninggalkan kesan kepada pembacaan Nimoiz T. Y. sehingga ke hari ini kerana mempunyai deskripsi yang jelas dan naratif ringan.

Begitu juga dengan ‘Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan’ yang ditulis oleh SN Fatimah Busu. Ia berjaya memaparkan nilai masyarakat kampung di Kelantan yang segar, murni dan suci daripada sebarang unsur asing negatif sehingga mampu memotivasi pembaca secara lembut.

Menambah kepada isi perkongsian beliau, Nimoiz T.Y. turut mengadaptasi ilmu kejuruteraan yang dimahiri ke dalam penulisan sastera yang dihasilkan.
Ilmu yang dibaca dan pengalaman dalam kehidupan seharian dipilih dan digarap secara kreatif untuk penghasilan cerpen dan puisi yang mampu memanusiakan masyarakat yang membaca.

Oleh itu, tidak mustahil untuk individu yang bukan daripada latar belakang sastera menjadi penulis asalkan dia mahu membaca bagi mencambahkan pemikiran kreatif yang ada.

Moderator kepada sesi forum tersebut iaitu Nik Mohd. Hafiz Abdullah, salah seorang AJK GEMA telah menyelaras sesi forum dengan lancar di samping turut memberikan input-input tambahan kepada isi ahli-ahli panel.

Forum Penulis Muda tersebut dianjurkan bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan GEMA Kali Ke-34 2025 . – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×