PETALING JAYA: Lebih 6,000 pesawah di bawah Program Komuniti Industri Tani Bernas (KITA) telah menerima perlindungan Takaful Kasih daripada Agrobank setakat ini.
Pelan itu memberikan perlindungan terhadap kemalangan kepara orang yang dilindungi sebelum tamat tempoh sijil Takaful.
Dan hari ini, Agrobank menyerahkan replika kad Takaful Kasih untuk pesawah terlibat di mana inisiatif itu merupakan usahasama bank berkenaan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam membina komuniti tadi yang mampan.
Ia sekali gus menawarkan peluang nilai tambah melangkaui perbankan keapda setiap peserta bagi meneraju peningkatan hasil padi dalam pasaran negara.
Agrobank dalam kenyataan memberitahu, penyerahankan replika kad Takaful Ikhlas itu telah disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin kepada Ketua Bahagian Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan Bernas, Abdul Rahman Mohd. Nasri.
Majlis disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus ini telah dibangunkan khas oleh Agrobank untuk membantu dan menambah pelan perlindungan takaful kepada ahli Program KITA.
Pada masa yang sama, ia untuk menarik minat lebih ramai pengusaha-pengusaha tanaman padi agar turut sama menjadi ahli Program KITA, dengan nilai sumbangan serendah RM0.05 sehari atau sumbangan tahunan berjumlah
RM21.20 sahaja.
“Ia juga merupakan kesinambungan dari usaha berterusan Agrobank untuk terus mendukung pertumbuhan sektor pertanian dan agromakanan negara, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara yang bertujuan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan.
“Terutamanya dalam keadaan semasa yang tidak begitu menentu ini, ingin saya mengingatkan kepada orang ramai bahawa situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan pada bila- bila masa,” katanya.
Tambah beliau, manfaat yang ditawarkan dalam Pelan Perlindungan Takaful Kasih oleh Agrobank itu sangat membantu dalam situasi di mana dana kecemasan tidak mencukupi dan jika berlaku musibah kematian.
“Misalnya, manfaat takaful seperti ini akan dapat mengurangkan sedikit beban yang akan ditanggung oleh waris dalam mereka meneruskan kehidupan mereka,” tambah beliau.
Bersempena MAHA 2022 yang sedang berlangsung di Maeps sehingga 14 Ogos ini, Agrobank turut menawarkan kad istimewa bagi pelan perlindungan Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2022. Mereka yang berminat boleh mengunjungi booth Agrobank di Dewan A MAEPS, Serdang. – UTUSAN









