JCorp, Tiong Nam bangun taman logistik GDV RM2.39 bilion

JCorp, Tiong Nam bangun taman logistik GDV RM2.39 bilion

MAJLIS pemeteraian kerjasama antara JCorp dan Tiong Nam disaksikan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim (tengah) di Johor Bahru, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Corporation (JCorp), melalui anak syarikat milik penuhnya, JLand Group Sdn. Bhd. (JLG), memeterai kerjasama bersama Tiong Nam Logistics Holdings Berhad (Tiong Nam) untuk membina dan memajukan taman logistik berasaskan teknologi terkini di Lembah Teknologi Sedenak, Johor.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2.39 bilon itu, akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh lima tahun dan bakal mewujudkan anggaran 4,000 pekerjaan daripada proses pembangunan, pembinaan dan pengendalian kemudahan.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pembangunan itu telah dikenal pasti sebagai projek logistik induk di Lembah Teknologi Sedenak.

Menerusi usaha sama itu katanya, syarikat berhasrat menjayakan projek perintis berkenaan yang boleh dijadikan contoh bagi industri logistik sebagai sebahagian daripada tumpuan pembangunan teras Lembah Teknologi Sedenak dalam industri strategik.

“Dengan pendekatan ‘Asia untuk Asia’ yang semakin berleluasa di peringkat serantau, JCorp berusaha memanfaatkan kekuatan pertumbuhan rantaian bekalan di rantau ini dengan membangunkan platform logistik bersepadu bagi industri dan perniagaan bertumpukan eksport.

“Dengan kepentingan yang semakin ketara bagi perdagangan antara rantau di benua Asia, JCorp akan terus memanfaatkan rangkaian rakan industrinya untuk menggalakkan keterhubungan lebih kukuh bagi koridor perdagangan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Majlis memeterai kerjasama itu telah disaksikan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim, kelmarin.

Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur JCorp, Datuk Sr. Akmal Ahmad pula berkata, taman logistik itu akan menjadi sebahagian daripada ekosistem bersepadu lebih besar bagi industri serba maju yang bersasar.

“Berlandaskan kejayaan industri Pusat Data (DC), dengan Fasa 1 hab DC telah menarik pelaburan mencecah RM12.5 bilion, kerjasama dengan Tiong Nam dalam pusat tumpuan logistik ini akan terus menggiatkan pertumbuhan Lembah Teknologi Sedenak.

“Ini merupakan batu loncatan untuk kami terus meningkatkan permintaan pengguna dan menarik minat pelabur. Dalam pada itu, kami berharap untuk berganding bahu dengan peserta industri dan penyedia perkhidmatan yang terkemuka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata, taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak dijangka menghimpunkan peserta industri antarabangsa dan merintis penyelesaian logistik menggunakan pelbagai kaedah pengangkutan, dengan matlamat mempertingkatkan rantaian bekalan dan pengangkutan di Johor dan peringkat serantau.

“Pengalaman kami menyediakan penyelesaian logistik bersepadu yang lestari, serta hartanah perindustrian dengan pensijilan bangunan hijau akan dimanfaatkan di hab perindustrian yang bakal dibina ini.

“Melalui penyepaduan automasi logistik gudang dan teknologi pembinaan terkini, kami yakin projek ini akan meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti bagi menyokong aktiviti perdagangan antarabangsa dan tempatan, aktiviti pengeluaran dan penggunaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya