NEW YORK: Apple dijangka melancarkan telefon pintar terbaharunya iPhone 14 bulan depan ini dan acara tersebut dipercayai dilakukan secara maya seperti pelancaran produknya sebelum ini semasa pandemik.
Menurut Mark Gurman dari Bloomberg, Apple sudah mula membuat rakaman untuk pelancaran tersebut yang dijangka disiarkan pada separuh pertama bulan tersebut.
Syarikat gergasi yang berpangkalan Cupertino tersebut biasanya memperkenalkan iPhone terbaharunya pada Selasa pertama atau kedua dalam September dan terdapat desas-desus mengatakan acara tersebut berlangsung pada 13 September.
Mark berkata, iPhone 14 dan iPhone 14 Pro diharap didatangkan dengan skrin yang lebih `hidup’ dan rekaan yang lebih baik pada model Pro.
“Biasanya, ia akan mempunyai kamera lebih baik. Sementara itu, Apple Watch Series 8 biasa pula akan mempunyai tambahan sensor suhu badan, tetapi seperti Apple Watch SE baharu, ia akan kelihatan serupa dengan generasi sebelumnya.
“Pengumuman jam tangan pintar utama adalah Apple Watch Pro dengan sarung titanium yang lasak, skrin yang lebih besar dan bateri lebih tahan lama,” katanya dalam Newsletter di Bloomberg.
Tambahnya, acara tersebut mendorong kepada penangguhan pelancaran versi baharu utama iPadOS, sistem operasi untuk iPad dari September ke Oktober.
Ini bermakna, perisian itu tidak akan keluar bersekali dengan iOS baharu, berbeza dengan corak biasa pelancaran Apple sebelum ini.
Sejak mengalihkan jadual keluaran perkakasan iPhone dari musim panas ke musim luruh pada 2011, Apple telah mengeluarkan kemaskini perisian iPad dan iPhone utamanya bersama-sama sekitar September. – AGENSI










