IGB beli tanah perindustrian di Puncak Alam RM30.45 juta

IGB beli tanah perindustrian di Puncak Alam RM30.45 juta

MELVIN LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ingenieur Gudang Bhd. (IGB) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Magnitude Resources Sdn. Bhd., telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Yuwang Development Sdn. Bhd. (YDSB) dan Global Bloom Sdn. Bhd. (GBSB) untuk pengambilalihan tanah perindustrian pegangan pajakan seluas 9.32 ekar dengan harga RM30.45 juta di Bandar Puncak Alam.

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata, ia adalah cadangan pengambilalihan hartanah keempat dalam tempoh kurang dua bulan susulan pengukuhan aktivitinya dalam segmen pelaburan hartanah.

Jelasnya, IGB bercadang untuk membangunkan tanah tersebut menjadi ruang penyimpanan gudang yang menyasarkan peserta pasaran kurier dan logistik memandangkan lokasi Puncak Alam yang strategik.

“Cadangan pengambilalihan hartanah itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan ia dijagka siap pada suku ketiga 2024,” katanya.

Mengulas pengambilalihan terbaharu itu, Pengarah Eksekutif IGB, Melvin Lim berkata, Kumpulan secara agresif meninjau kaedah membuat kemajuan ke dalam pasaran pelaburan hartanah kerana ia mempunyai permintaan yang lebih kukuh dan memiliki margin yang lebih baik.

“IGB terus mencari sumber bank tanah atau hartanah baharu di lokasi mudah diakses yang mempunyai potensi pembangunan.
“Pada masa hadapan, kami berharap dapat menjana keuntungan yang baik untuk kumpulan daripada gabungan pendapatan sewa berulang serta peningkatan nilai harta tanah,” katanya.

Tambah Lim, dengan lokasi hartanah Puncak Alam strategik, terletak di daerah Kuala Selangor yang mempunyai pelbagai lebuh raya penting dan dikelilingi pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman, menjadikan ia lokasi yang sesuai untuk tujuan penyimpanan dan logistik.

Menyingkap semula, pada 29 Julai lalu, IGB mengumumkan bahawa ia telah memeterai SPA bersyarat untuk cadangan pengambilalihan 435,002 kaki persegi ruang lantai di kompleks membeli-belah di Pandan Perdana, Ampang pada harga RM9.07 juta, dengan niat untuk menggunakan semula ruang tersebut sebagai gudang dan penyimpanan.

Pelaburan hartanah itu dijangka menghasilkan pendapatan sewa jangka panjang bagi Kumpulan dengan memanfaatkan pertumbuhan e-dagang secara domestik, jelas syarikat itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN