Hilton, Tradewinds perkukuh kerjasama

Hilton, Tradewinds perkukuh kerjasama

LAKARAN artis projek Hilton Burau Bay Resort Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat hospitaliti global terkemuka, Hilton mengumumkan pemeteraian perjanjian dengan Tradewinds Corporation Berhad untuk mengembangkan jenama utama Hilton di Malaysia dengan Hilton Burau Bay Resort Langkawi.

Resort di lokasi percutian di Kedah itu merupakan hartanah keempat Tradewinds dengan Hilton selepas Hilton Petaling Jaya, Hilton Kuching dan Waldorf Astoria Kuala Lumpur yang diumumkan baru-baru ini.

Dijadualkan dibuka pada 2024, resort dengan 251 bilik itu akan menjadi hartanah kedua Hilton di Langkawi, selepas The Nautilus Resort, Curio Collection by Hilton yang dijangka dibuka pada 2023.

Resort ini juga akan menyertai portfolio hotel Hilton yang ditubuhkan di Malaysia, di mana ia kini mengendalikan 13 hartanah dalam tiga jenama, dengan sembilan lagi dalam perancangan.

Naib Presiden Kanan, Pembangunan, Asia dan Australasia, Hilton, Guy Phillips berkata, Langkawi adalah syurga tropika yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya dan merupakan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO)

Global Geopark pertama di Asia Tenggara selain destinasi kelas atas yang popular untuk pelancong antarabangsa dan domestik.

“Kami berbesar hati mengembangkan perkongsian kami dengan Tradewinds Corporation Berhad seterusnya membawa jenama utama Hilton dan layanan bertaraf dunia ke Langkawi,” katanya dalam kenyataan.

Terletak di Teluk Burau di sepanjang pantai barat Langkawi, resort ini menawarkan pemandangan Selat Melaka yang menakjubkan dan tanpa halangan, di samping menikmati keindahan pantai sepanjang 600 meter dengan pasir putih dan air yang jernih.

Ia dikelilingi oleh hutan hujan pantai dan menghadap Gunung Mat Cincang, Pulau Seratosa dan Pulau Burau.

Lokasinya hanya terletak dalam 15 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Langkawi dan 40 minit dari Jeti Kuah, selain berdekatan dengan tarikan pelancong popular seperti Kereta Kabel Langkawi, Sky Bridge, Pantai Cenang dan Bandar Kuah.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tradewinds, Muhammad Zainal Ashikin berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan perkongsian dengan Hilton melalui penampilan sulung Hilton Burau Bay Resort Langkawi yang akan datang.

“Resort ini menandakan kerjasama keempat kami dengan Hilton, menekankan sinergi yang kukuh di antara kedua-dua syarikat.

“Kami yakin Hilton Burau Bay Resort Langkawi akan menjadi tambahan yang baik kepada destinasi riadah yang popular ini dan akan diterima baik oleh penduduk tempatan dan pelawat antarabangsa,” katanya.

Hilton Burau Bay Resort Langkawi akan menampilkan lounge eksekutif dan lima konsep restoran termasuk restoran istimewa dan bar di tepi kolam renang.

Para tetamu boleh berehat di spa, kolam renang indoor dan outdoor, atau bersenam di pusat kecergasan, gelanggang bola keranjang dan gelanggang tenis.

Bagi tetamu yang ingin menganjurkan acara sosial dan perayaan, resort ini juga menawarkan ruang acara seluas kira-kira 800 meter persegi dan ballroom seluas kira-kira 400 meter persegi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN