PETALING JAYA: GoCar Malaysia berkolaborasi dengan Green EV Charge, sebuah syarikat kerjasama antara Yinson Green Technologies (M) Sdn. Bhd. dan GreenTech Malaysia Alliances Sdn. Bhd.
Matlamat kerjasama itu adalah untuk meningkatkan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara dengan mengintegrasikan platform mudah alih chargEV dengan aplikasi GoCar.
“Kerjasama itu membolehkan ahli GoCar dan pengguna EV lain mendapatkan akses lebih mudah dan ketersambungan lebih baik ke atas semua stesen chargEV secara langsung daripada aplikasi GoCar tanpa perlu menukar platform.
“ChargEV merupakan rangkaian pengecasan EV terbesar di Malaysia dengan lebih 400 stesen di seluruh negara,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya, fasa pertama integrasi itu akan membolehkan pengguna aplikasi GoCar untuk melihat lokasi, kebolehdapatan dan jenis pengecas dalam rangkaian chargEV.
Penambahbaikan pada fasa seterusnya adalah integrasi seperti pra-tempahan pengecas EV, menjadualkan pengecasan, membuat pembayaran dan memantau proses mengecas.
“Kolaborasi dengan Green EV Charge merupakan usaha terkini GoCar untuk mengembangkan akses pengalaman EV kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Syarikat baru-baru ini bekerjasama dengan EV Connection untuk menawarkan pengguna
aplikasi GoCar kepada lebih banyak stesen pengecasan dalam rangkaian JomCharge.
“Menerusi GoEV, ahli GoCar boleh merasai pengalaman memandu sebuah EV selama sejam, sehari atau sebulan, malah setahun hingga tiga tahun. Berdasarkan kepada data yang dikumpul hingga ke hari ini, daripada 1,000 pengguna GoEV yang telah
mencatat perjalanan lebih 500,000km, 90 peratus merupakan pengguna EV kali pertama,” tambahnya.
Mengulas kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, syarikat teruja mengenai kerjasama dengan Green EV Charge.
Katanya, menambah baik ketersambungan dengan chargEV akan dapat membantu meningkatkan pengalaman pengecasan EV pelanggan di seluruh Malaysia.
“Kami berbangga untuk menjuarai cara bergerak yang lebih pintar dan mesra alam. GoEV menyaksikan kejayaan dalam menjadikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses oleh orang ramai,” kata beliau.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Elektromobiliti Yinson GreenTech, Ruslin Tamsir pula berkata, sebagai penyedia utama infrastruktur pengecasan EV di Malaysia, chargEV teruja untuk bekerjasama dengan GoCar yang merupakan platfirm perkongsian kenderaan berdasarkan kepada permintaan yang paling pantas berkembang di Malaysia.
“Kami percaya bahawa sistem sokongan baharu pada chargEV dan aplikasi mudah alih bersama rangkaian infrastruktur pengecasan EV kami yang pantas berkembang akan dapat menyokong pertumbuhan rangkaian dan asas pengguna GoCar. Dengan
kerjasama ini, kami percaya dapat menjadikan EV sebagai satu pilihan pengangkutan yang menarik dan mapan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










