Beban kewangan, 10,000 PKS dijangka gulung tikar

Beban kewangan, 10,000 PKS dijangka gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menjangka kira-kira 10,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan gulung tikar sepanjang tahun ini dan tahun depan berikutan kenaikan dasar semalaman (OPR) yang membebankan mereka.

Presiden DPMM, Abdul Halim Husin berkata, kenaikan OPR akan menjejaskan PKS dari segi pembayaran balik pinjaman mereka.

“Walaupun pembayaran untuk premis perniagaan tiada kenaikan tetapi tempoh pembayaran itu telah dipanjangkan.

“Itu akan memberi kesan kepada mereka di masa depan.

“Selain itu, kebanyakan PKS mengambil pinjaman peribadi kerana lebih mudah untuk mereka mendapat kelulusan daripada pihak bank. Namun, kadar faedahnya lebih tinggi.

“Sekarang pembayaran pinjaman peribadi akan meningkat setiap bulan sekiranya kenaikan OPR menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, OPR akan terus meningkat sehingga 3.75 mata asas di mana Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR sebanyak 0.25 mata peratusan setiap suku tahun sehingga tahun depan.

Justeru, jelasnya, PKS akan lebih terdesak untuk menaikkan harga jualan mereka berikutan kenaikan pembayaran balik pinjaman yang diberikan kepada mereka.

“Kami tidak risaukan peniaga kerana mereka biasanya boleh faktorkan kenaikan harga itu kepada barangan yang mereka jual.

“Perkara yang kami risaukan ialah penerimaan pengguna terhadap kenaikan harga oleh peniaga itu.

“Keuntungan PKS bergantung kepada kuasa beli pengguna. Dalam keadaan inflasi yang tinggi ini, sudah tentu pengguna juga akan lebih berhati-hati ketika berbelanja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN