PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melantik Ahmad Rizal Omar sebagai Ketua Pegawai Kewangan baharu bagi menerajui hala tuju kewangan organisasi ke arah pengukuhan dan kedudukan yang lebih strategik.
Menurut PLUS, Ahmad Rizal adalah akauntan bertauliah dengan 24 tahun pengalaman dalam penilaian pelaburan serta pengurusan, kewangan korporat dan perakaunan bertauliah di Turkiye dan rantau Asia Pasifik.
“Ahmad Rizal merupakan lulusan Ijazah Sarjana Kewangan dari University of Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari Royal Melbourne Institute of Technology.
“Ahmad Rizal menceburkan diri dalam bidang kewangan korporat di Axiata Group Berhad di mana beliau menyelia beberapa projek bertaraf antarabangsa melibatkan pelaburan antarabangsa Axiata.
“Beliau pernah berkhidmat dengan Khazanah Nasional Berhad sebagai Naib Presiden Kanan, Pelaburan, sebelum menyertai Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai Pengurus Besar Perancangan Kewangan dan Perkhidmatan Guna Sama dan Pemangku Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAHB,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Ahmad Rizal kemudiannya dilantik Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Perancangan Strategik & Pengurusan Perbendaharaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen milik MAHB di Turkiye.
“Pengalaman dan kecekapan kewangan Ahmad Rizal akan menjadi tunggak utama dalam operasi pemulihan pasca pandemik PLUS dan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN









