PETALING JAYA: Agrobank menyambut baik mandat dan tanggungjawab yang diberikan oleh Kerajaan dalam memulihkan sektor pertanian dan agromakanan negara.
Ia sekali gus membantu rakyat Malaysia mendepani cabaran ekonomi semasa, menerusi Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz.
Pengumuman mengenai Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Sabtu lalu.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang memperuntukan RM50 juta kepada Agrobank bagi membantu kira-kira 10,000 individu yang berminat untuk memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan.
Beliau berkata, program terbaharu Agrobank itu adalah berbeza daripada program pembiayaan yang lain dan ia diolah khusus bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan oleh situasi dan cabaran ekonomi semasa, seperti hilang pekerjaan, graduan yang masih menganggur, individu asnaf, mereka yang ingin menambah pendapatan isi rumah dan suri rumah serta ibu tunggal.
“Kemudahan pembiayaan tanpa cagaran ini ditawarkan untuk tujuan pembelian aset tetap dan modal pusingan kepada aktiviti perniagaan yang ditetapkan seperti pembelian motosikal untuk aktiviti pengedaran dan penghantaran makanan melalui platform e-hailing,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, program pembiayaan itu ditawarkan dalam dua peringkat iaitu pembiayaan sehingga RM5,000 diberikan bagi peringkat pertama, manakala pembiayaan peringkat kedua sehingga RM10,000 akan ditawarkan selepas tempoh 12 bulan dari tarikh kemudahan pembiayaan peringkat pertama dikeluarkan.
Katanya, bagi program pembiayaan itu, Agrobank turut menyediakan kemudahan moratorium bagi tempoh enam bulan pertama pembiayaan dan bagi bulan ketujuh dan seterusnya, mereka hanya dikenakan kadar keuntungan serendah 3 peratus dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau lima tahun.
“Tempoh moratorium ini adalah untuk memberi ruang kepada para usahawan untuk kekal fokus dalam mengatur strategi perniagaan mereka, sambil menimba ilmu dan pengalaman dalam mendalami selok-belok dunia perniagaan serta menstabilkan modal pusingan perniagaan baharu yang sedang mereka usahakan sebelum memulakan pembayaran semula pembiayaan mereka.
“Ini kerana, kami tidak mahu membebani usahawan kami dengan tekanan untuk terus sahaja membuat bayaran pembiayaan mereka sebaik sahaja ia diluluskan dan akhirnya mereka gagal dalam perniagaan yang baru sahaja mereka usahakan,” tambahnya.
Tambah Tengku Ahmad Badli Shah, bagi mereka yang baharu sahaja terlibat dalam perniagaan makanan atau usahawan muda mahupun mereka yang mempunyai minat untuk memulakan perniagaan makanan, boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) untuk pelbagai cabang khidmat nasihat.
“Program Pemulih NewBiz adalah salah satu inisiatif berterusan Agrobank, dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian, untuk memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan
menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan (unserved and underserved communities) seperti asnaf, selain menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan dan sekali gus menambahbaik taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web Agrobank di www.agrobank.com.my, hubungi pusat perkhidmatan pelanggan di 1300-88-2476 atau merujuk media social Agrobank. – UTUSAN









