Southern Cable dapat kontrak TNB RM293.8 juta

Southern Cable dapat kontrak TNB RM293.8 juta

KONTRAK melibatkan penghantaran kabel bawah tanah dan konduktor voltan rendah serta sederhana ke Bahagian Rangkaian Pengredan TNB. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kabel dan wayar Southern Cable Group Berhad (Southern Cable) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Southern Cable Sdn. Bhd. memperoleh Surat Anugerah (LOA) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membekalkan kabel dan konduktor bawah tanah bernilai RM293.8 juta kepada gergasi utiliti nasional itu.

Kontrak terbesar kumpulan setakat ini melibatkan Southern Cable menghantar kabel bawah tanah dan konduktor voltan rendah dan sederhana ke Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB dalam tempoh setahun dari Julai 2022, dengan pilihan lanjutan setahun.

Sebelum ini, Southern Cable telah memperolehi LOA sama daripada TNB sejak 2019.

Pengarah Urusan Southern Cable Group Berhad, Encik Tung Eng Hai berkata, LOA baharu itu mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai pembekal utama kepada TNB selama lebih 18 tahun selain dan memberi peluang untuk terus menyokong keperluan negara yang semakin meningkat bagi infrastruktur tenaga sejajar dengan pembangunan yang lebih besar.

“Kontrak terbesar setakat ini menjadikan jumlah tempahan Southern Cable dalam tangan kepada lebih RM800 juta, yang akan ditunaikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang. Ini akan meningkatkan prospek pendapatan kami untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2022 dan seterusnya.

“Dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia di landasan yang betul untuk mendapatkan semula momentumnya selepas pandemik Covid-19, kami optimis bahawa LOA ini akan membantu negara mencapai matlamat ini,” katanya dalam kenyataan.

Dengan LOA baharu daripada TNB, pesanan semasa kumpulan meningkat kepada RM816.3 juta, yang akan dipenuhi sehingga 2024.

Pesanan dalam tangan terdiri daripada RM466.7 juta dalam buku pesanan daripada kontrak jangka panjang, serta jangka pendek pesanan pembelian belum dibil berjumlah RM349.6 juta.

Hampir 90 peratus daripada pendapatan Southern Cable pada 2021 diperoleh daripada kabel dan wayar kuasa yang dibekalkan kepada pembekal utiliti seperti TNB; penjual semula; kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan lain-lain.

Selain daripada pembuatan dan pembekalan kabel sektor kuasa, Southern Cable turut mengeluarkan dan membekalkan kabel dan wayar komunikasi untuk sektor telekomunikasi serta kabel dan wayar kawalan dan instrumentasi yang digunakan dalam industri pembuatan dan pemprosesan.

Tambah Eng Hai, secara keseluruhannya, pemulihan dalam aktiviti ekonomi di Malaysia memberi petanda yang baik untuk kumpulan.

“Kami menjangkakan pesanan yang lebih tinggi daripada pelbagai industri pada masa hadapan, termasuk telekomunikasi serta pembinaan dan infrastruktur, apabila syarikat memulakan peningkatan sistem atau pengembangan untuk melengkapkan diri mereka untuk fasa pertumbuhan seterusnya.

“Kemudahan bersepadu kami dan kabel serta wayar yang diperakui antarabangsa disokong oleh rangkaian pengedaran yang kukuh membantu kami memenuhi mana-mana industri di seluruh negara tepat pada masanya. Kami optimistik dengan prospek kami di hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN