RM300 juta bantu penjawat awam miliki kediaman

RM300 juta bantu penjawat awam miliki kediaman

ZUWARDI Zubir (dua, kanan) dan Zuri Rahimee Zainal Abidin menunjukkan dokumen kerjasama antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memeterai kerjasama bagi membantu kakitangan sektor awam memiliki kediaman dengan sasaran pembiayaan sebanyak RM300 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, Khairul Kamarudin berkata, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai, pihak bank akan membantu memudahkan urusan pembiayaan kakitangan sektor awam dan ahli keluarga terdekat yang berkelayakan, menerusi pembiayaan perumahan gadaian kedua.

“Kami mensasarkan untuk tahun pertama, RM300 juta permohonan nilai pinjaman di bawah program ini (namun), ia bergantung kepada harga rumah.

“Kakitangan sektor awam boleh memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Muamalat yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua bagi menyelesaikan wang beza (differrential sum),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi LPPSA, Zuwardi Zubir dan Pengarah Perbankan Runcit BMMB, Zury Rahimee Zainal Abiden di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, melalui gadaian kedua itu, BMMB akan menyediakan pembiayaan perumahan tambahan untuk pembelian rumah idaman bagi melengkapkan pembiayaan perumahan yang telah diluluskan oleh LPPSA.

Jelasnya, mereka yang layak memohon termasuk pegawai tetap yang sedang berkhidmat dan kakitangan sektor awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya satu tahun serta telah disahkan jawatan.

“Melalui MoU ini, kami menawarkan margin pembiayaan istimewa sehingga 90 peratus kepada bakal pembeli rumah.

“Di samping itu, kos berkaitan seperti takaful gadai janji, yuran guaman dan takaful pemilik rumah jangka panjang boleh dibiayai melalui pembiayaan perumahan Bank Muamalat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd. Farid Nawawi berkata, LPPSA amat mengalu-alukan MoU tersebut yang bertujuan mempelbagaikan saluran bagi penjawat awam membiayai rumah idaman mereka.

“LPPSA sentiasa membuka peluang kerjasama dengan institusi kewangan atau institusi pembiayaan lain bagi memudahkan dan membantu kakitangan sektor awam mendapatkan kemudahan kredit atau pembiayaan untuk membeli kediaman idaman di lokasi strategik.

“LPPSA juga sentiasa menambah baik dan memudahkan urusan kakitangan awam yang ingin memiliki kediaman dengan menyediakan platform perkhidmatan kewangan bersepadu yang mudah diakses,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×