PETALING JAYA: Syarikat pelaburan strategik Kerajaan Negeri Sabah, Qhazanah Sabah Bhd (QSB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Berjaya Land Berhad (B-Land) untuk meneroka kemungkinan memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kumpulan QSB, Ahmad Rizal Dahli berkata, MoU mewujudkan kerjasama awal antara kedua-dua syarikat, membuka jalan untuk QSB menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan kerja-kerja penerokaan bagi projek yang dicadangkan.
Kata beliau, segala-galanya masih awal pada masa ini sehingga konsensus dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan
tercapai.
Katanya, sebagai cabang pelaburan kerajaan Sabah, QSB telah ditugaskan meneliti pelbagai inisiatif pembangunan strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi bagi negeri itu, termasuk kemungkinan pemindahan KKIA ke Kimanis.
“Maklum balas daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira dan konsensus perlu sebulat suara sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai cadangan penempatan semula,” katanya dalam kenyataan.
Pada majlis itu, Ahmad Rizal mewakili QSB sementara B-Land diwakili Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif bersama Kumpulan Berjaya Corporation, Syed Ali Shahul Hameed.
Ia disaksikan oleh Pengerusi Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Setiausaha Syarikat QSB, Rudy Jagiul. Turut hadir, Pengerusi QSB, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak; Pengarah QSB, Datuk Johnson Tee dan Ketua Pegawai Eksekutif B-Land, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin.
Menurut Ahmad Rizal, penempatan semula KKIA telah dicadangkan dalam pelbagai perbincangan secara menyeluruh dalam tempoh sedekad lalu.
Sehubungan itu katanya, MOU itu membolehkan pihaknya melihat perkara itu dengan lebih terperinci, khususnya dari segi ekonomi dan penilaian impak sosial.
“Kami tidak sabar-sabar untuk memanfaatkan kepakaran dibawa bersama oleh perkongsian awal dengan B-Land, terutamanya mengenai infrastruktur pembangunan. Sebarang keputusan hasil daripada kajian kebolehlaksanaan akan dibuat dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri. Ini sentiasa dan akan terus menjadi tumpuan kami dalam apa jua perkara yang kami lakukan,” katanya.
Sementara itu, Syed Ali berkata, sebagai peneraju pemaju hartanah, dalam dan luar negara, B-Land berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif itu dan diberi peluang untuk menyumbang secara positif ke arah ekonomi dan sosial
pembangunan negeri Sabah.
Dalam pada itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ketika dihubungi menyatakan KKIA adalah di bawah kendaliannya, dan maklum mengenai berita berkenaan, namun tidak memberi ulasan lanjut mengenainya. – UTUSAN










