PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, menyumbangkan dana tambahan RM2 juta kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk Tabung Endowmen UTM bagi membantu membiayai pengajian para pelajar UTM yang cemerlang di dalam akademik, khususnya mereka daripada keluarga kurang berkemampuan.
Pada 2013, Johor Port dan UTM telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) di mana Johor Port telah menyumbangkan RM5 juta bagi tempoh lima tahun, seterusnya melanjutkan perjanjian itu dari 2019 hingga 2021, dengan sumbangan tambahan RM3 juta kepada dana endowmen.
Tahun ini, Johor Port telah bersetuju untuk memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM2 juta bagi tempoh empat tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir berkata, sumbangan berterusan syarikat kepada Tabung Endowmen UTM diharap dapat membantu para pelajar meneruskan pengajian universiti dan secara tidak langsung membantu negara melahirkan bakat muda yang berprestasi tinggi.
“Sebagai sebuah organisasi yang berprestasi tinggi, kami percaya bakat berprestasi tinggi sangat penting dalam memacu kejayaan sesebuah organisasi.
“Sehubungan itu, kami turut gembira dapat memainkan peranan memperkasa para pelajar universiti melalui sumbangan dana yang diberikan kepada Tabung Endowment UTM,” ujarnya.
Selain itu, Johor Port melalui JP Skills Centre juga bekerjasama dengan UTM bagi Sarjana Profesional dalam Pengurusan Pelabuhan yang dilancarkan baru-baru ini, sebuah program perintis pertama yang diperkenalkan di Malaysia.
Modul kursus kontemporari direka untuk meningkatkan asas dan pengetahuan operasi profesional pelabuhan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara.
Ia juga bertujuan berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam Pengurusan Pelabuhan dan mengukuhkan pengurusan dan pembangunan bakat dalam komuniti pelabuhan.
Sebagai sebuah pelabuhan pelbagai guna bersepadu di wilayah Selatan, Johor Port bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pelbagai industri komoditi, pembuatan dan aktiviti minyak dan gas, malah ia juga sebuah organisasi yang prihatin dalam membentuk dan membangun masyarakat berpengetahuan. – UTUSAN










