PETALING JAYA: Inflasi teras pada Mei meningkat kepada 2.4 peratus daripada 2.1 peratus, lapor Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut bank pusat, inflasi keseluruhan pada bulan dilaporkan turut meningkat kepada 2.8 peratus daripada 2.3 peratus bulan sebelumnya, sejajar dengan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan.
Jelasnya, peningkatan dalam inflasi teras disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan di luar rumah dan makanan di rumah, sewaan serta pembaikan dan penyelenggaraan untuk pengangkutan persendirian.
“Peningkatan ini berikutan input makanan import yang lebih mahal disebabkan terutamanya oleh peperangan di Ukraine dan keadaan cuaca buruk, peningkatan permintaan semasa musim perayaan serta pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia,” katanya dalam Sorotan Bulan Mei 2022, semalam.
Dalam pada itu, BNM berkata, bank-bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi.
Katanya, nisbah modal meningkat sedikit pada Mei, didorong oleh perolehan penilaian ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual apabila kadar hasil bon susut buat sementara pada tempoh itu.
Jelasnya, pada akhir Mei 2022, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM121.5 bilion.
“Daya tahan institusi perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh. Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal stabil masing-masing pada 1.6 dan 1.0 peratus.
“Hal ini mencerminkan peningkatan yang sedikit dalam pinjaman terjejas daripada segmen perniagaan dan isi rumah berikutan pengurangan langkah-langkah bantuan bayaran balik pinjaman sejak suku pertama.
“Jumlah peruntukan kekal pada tahap berhemat mencakupi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 109.1 peratus daripada pinjaman terjejas,” katanya.
Menurut BNM, pertumbuhan pembiayaan bersih menurun sedikit kepada 4.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada April, disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam bon korporat terkumpul (3.4 peratus; April: 3.7 peratus), manakala pertumbuhan pinjaman terkumpul mampan pada 5.0 peratus.
Ujarnya, bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul adalah lebih tinggi sedikit iaitu pada 5.0 peratus berbanding 4.9 peratus April.
“Hal ini mencerminkan pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang kukuh (17.8 peratus; April: 10.8 peratus) dan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi (9.1 peratus; April:8.5 peratus).
“Pinjaman perniagaan terkumpul mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan (5.4 peratus; April: 5.7 peratus), apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman.
“Walaupun pertumbuhan pengeluaran pinjaman menjadi sederhana bagi kebanyakan tujuan, namun kekal tinggi pada 20.8 peratus manakala April pada 37.2 peratus,” ujarnya. – UTUSAN










