SHAH ALAM: I-City menerusi syarikatnya i-Berhad mengukuhkan statusnya sebagai ‘Segitiga Emas Selangor’ apabila melancarkan hab pelaburannya, i-City Finance Avenue bernilai RM1.5 bilion, semalam.
Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Eksekutif i-City, Ricky Lim Boon Soon berkata, hab pelaburan tersebut dibina kira-kira lapan tahun lalu disasar menarik lebih banyak syarikat untuk melabur dan beroperasi di sana.
Menurutnya, pusat tersebut yang berkeluasan 3.01 hektar dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025 dengan siapnya ICC dan pejabat premium dan bangunan suite peruncitan.
“I-City Finance Avenue memiliki tujuh bangunan merangkumi bangunan Mercu Maybank, hotel DoubleTree by Hilton, Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC), pusat kediaman Hill10 dan BeCentral serta pejabat premium dan bangunan suite peruncitan,” katanya selepas perasmian i-City Finance Avenue di i-City.
Ricky menambah, kesemua bangunan tersebut dilengkapi teknologi pintar terdiri daripada pusat data bersepadu, ‘Super AI Network’ dan rangkaian gentian berkembar.
“Kami mahu pastikan kesemua pekerja, penduduk serta pengunjung Finance Avenue dapat menikmati pengalaman menggunakan teknologi terkini di semua bangunan.
“Dalam pada itu, kami sasarkan kira-kira 10,000 pengunjung dalam kalangan golongan profesional ke i-City setiap hari menjelang 2023,” ujarnya.
Katanya lagi, Double Tree by Hilton mula beroperasi semalam, dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka mencemar duli merasmikan hotel tersebut pada 11 Ogos ini.
Dengan semua kemudahan itu, Ricky berharap, lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke i-City. – UTUSAN










