Gagasan Nadi Cergas raih kontrak bina rumah RM189.8 juta

Gagasan Nadi Cergas raih kontrak bina rumah RM189.8 juta

WAN AZMAN WAN KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gagasan Nadi Cergas Berhad memperoleh kontrak pembinaan rumah mampu milik di Kemuning Utama, Selangor bernilai RM189.8 juta.

Ia menerima surat anugerah menerusi anak syarikat milik penuhnya, Nadi Cergas Sdn. Bhd. daripada Paramount Property Development Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Paramount Corp. Berhad.

Kontrak siap bina (turnkey) itu membabitkan reka bentuk, pelaksanaan, pembinaan dan menyiapkan rumah mampu milik berkediaman tinggi berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit.

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, kerjasama dengan Paramounts membolehkan Kumpulan merealisasikan agenda pembinaan rumah mampu milik terutamanya di lokasi bandar yang berkembang pesat.

“Projek itu merupakan sebahagian daripada pembinaan 10,000 rumah mampu milik yang dibangunkan Kumpulan di Lembah Klang dalam tempoh lima tahun lagi.

“Setakat ini, kami kekal berada di landasan yang jelas, memandangkan sektor swasta dan awam memainkan peranan masing-masing untuk menjaga kebajikan rakyat di tengah-tengah trajektori menaik yang dijangkakan oleh Malaysia pada masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Dengan perolehan kontrak itu, menjadikan nilai kontrak dalam tangan Kumpulan mencecah RM1.6 bilion.

Selain usaha sama bersama Paramount, projek perumahan mampu milik Gagasan Nadi Cergas termasuk projek perumahan Rumah Selangorku di Serendah dan projek Rumah Idaman untuk Kwasa Land Sdn. Bhd. di Kwasa Damansara.

“Kami telah meneruskan momentum kerja di tapak pembinaan dalam segmen pembangunan dan pembinaan hartanah kami pada suku keempat 2021, dan juga dengan peralihan negara ke fasa endemik pada April lalu.

“Kedua-dua segmen itu dijangka menyumbang dengan ketara dalam tahun kewangan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN