ENGIE, Sunway Property kurangkan pelepasan karbon

ENGIE, Sunway Property bekerjasama kurangkan pelepasan karbon

KERJASAMA ENGIE-Sunway akan mewujudkan sistem penyejukan berpusat di projek pembangunan bercampur Sunway South Quay CP2 bagi tempoh 25 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ENGIE Services Malaysia Sdn. Bhd. (ENGIE) dan Sunway Property, unit hartanah Sunway Group telah memeterai Perjanjian Bina, Miliki, Kendali dan Pindah Milik (Build, Own, Operate and Transfer [BOOT]) bagi mewujudkan sistem penyejukan berpusat hab gaya hidup tepian air bersepadu baharu Sunway Property.

Sistem itu dikenali sebagai Sunway South Quay Commercial Precinct 2 (CP2). Kerjasama dimeterai menerusi ENGIE-SUNWAY DCS Sdn. Bhd. (ENGIE-SUNWAY).

ENGIE-SUNWAY ialah syarikat bersekutu dengan pemilikan 40 peratus kepentingan oleh Sunway SK Sdn. Bhd. yang juga anak syarikat milik penuh Sunway Construction Group Berhad (SunCon).

Pembangunan Sunway South Quay CP2 terdiri daripada blok pejabat 23 dan 21-tingkat, komponen runcit lima tingkat dan blok universiti 12 tingkat termasuk Pusat Seni Persembahan Sunway University dengan pensijilan LEED Gold dan GreenRE membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2 bilion.

“Sistem penyejukan berpusat ENGIE ini menawarkan penyelesaian paling cekap tenaga untuk bandar dan kawasan bandar di Asia Tenggara.

“Ia meningkatkan kecekapan tenaga dengan ketara dan meningkatkan bekalan selaras dengan permintaan. Dengan kontrak selama 25 tahun, penyelesaian penyejukan Sunway South Quay CP2 akan membantu mengurangkan kos operasi sambil mengekang pelepasan karbon dengan berkesan serta memanfaat kualiti udara yang menyokong hala tuju kelestarian Malaysia selaras dengan komitmen di bawah Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penyelesaian Tenaga Asia Pasifik dan Ketua Negara Bagi ENGIE Asia Tenggara, Thomas Baudlot berkata, ENGIE sangat teruja dengan kerjasama baharu dengan Sunway.

Jelasnya, penyelesaian rendah karbon pertama yang dibangunkan secara bersama itu akan membantu Sunway South Quay CP2 berjimat hampir 20 peratus tenaga dan CO2 untuk keperluan penyaman udaranya.

“Saya yakin kombinasi keupayaan kedua-dua organisasi ini akan membolehkan kami mempercepatkan penggunaan penyelesaian ini di seluruh Malaysia dan membantu memacu agenda peralihan tenaga negara,” katanya.

Pelaksanaan penyelesaian berpusat di Sunway South Quay CP2 akan menyaksikan sistem penyejukannya memiliki kapasiti lebih daripada 7,000 tan penyejukan (RT).

Projek itu akan beroperasi menerusi model BOOT untuk pembangunan bercampur di tanah yang belum dimajukan.

Pengarah Eksekutif (Wilayah Tengah) Kanan Sunway Property, Chong Sau Min pula berkata, kunci untuk mempercepatkan transformasi bandar dan melaksanakan penyelesaian yang berjaya bagi menangani isu alam sekitar terletak pada kerjasama dengan rakan kongsi yang memiliki rekod prestasi hebat dalam melaksanakan penyelesaian tenaga hijau.

Katanya, kelestarian telah lama tertanam dalam DNA Sunway sejak penubuhannya.

“Kami komited untuk mengurangkan jejak karbon menerusi kecekapan tenaga yang dipertingkatkan dan menyepadukan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Kami berusaha ke arah masa depan karbon sifar bersih, di mana kami berharap untuk menjadi teladan dan menggalakkan lebih banyak lagi daerah komersial dan perindustrian di Malaysia turut sama berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN