PETALING JAYA: Pemaju hartanah, DK-MY Properties Sdn. Bhd. menyasarkan untuk melancarkan tujuh projek komersial dan kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.5 bilion di Lembah Klang menjelang 2025.
Projek baharu terbabit susulan pelancaran pembangunan ikonik D’Immersione, Mont Kiara pada 2017 dan DK Impian, Damansara West (2018).
Pengarah Urusannya, Danny Koek berkata, projek tersebut dibangunkan untuk mewujudkan ciptaan mercu tanda di negara ini yang akan meletakkan Malaysia di persada dunia sambil memastikan kelestarian dalam gaya hidup dan persekitaran.
Katanya, syarikat akan memulakan projek tersebut dengan pelancaran The Suite, Jalan Ampang iaitu pembangunan berwawasan yang dianugerahkan Pembangunan Hibrid Terbaik oleh Anugerah Pembangunan Berprestij Property Insight’s 2019.
“The Suite menitikberatkan pengalaman berkerja dari rumah dengan menekankan ruangan bekerja dan hidup bersama dengan gabungan teknologi rumah pintar.
“Pembangunan ini juga disokong dengan teknologi SAMA+, penyedia khas lima bintang tanpa sentuhan eksklusif pertama di Malaysia yang menganjurkan pelbagai ciri-ciri kehidupan pintar,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Danny memberitahu, projek seterusnya adalah pembangunan komersial jenis pegangan bebas seluas 0.42 hektar di Bandar Sri Damansara dengan pembinaan sebanyak 492 unit suite kediaman dan pejabat.
Menurutnya, DK-MY Properties juga komited untuk memelihara alam sekitar dalam projek pembangunannya yang mana salah satu projek kediaman berkepadatan rendah terletak di tapak hutan seluas 11.3 hektar di Bukit Ketumbar, Bukit Cheras.
“Projek tersebut adalah satu usaha untuk melindungi lokasi tersebut sebagai kawasan mendaki dengan memastikan kelestarian alam semula dipelihara dengan baik dan pada masa yang sama, mempromosikan keseimbangan kehidupan,” ujarnya.
Tamabahnya, pihaknya juga menyasarkan untuk melancarkan pembangunan bercampur SSTwo Mall iaitu pusat membeli-belah berkonsep kehidupan sejahtera, D’Twist, pusat membeli-belah dipacu teknologi dengan kolam menyelam dalaman terdalam di dunia dan pembangunan kediaman di Puchong Intan. – UTUSAN










