fbpx

WMoto ES250i – Skuter moden dari China

WMoto didatangkan dengan sistem tanpa kunci. – UTUSAN/ANUAR NORICK

Dalam pasaran tempatan, kebiasaan dan penerimaan rakyat Malaysia terhadap jentera-jentera dari Jepun adalah sesuatu yang amat normal. Kita seperti sangat yakin dan selesa dengan jentera-jentera dari Jepun. Kalau 40 tahun dulu, bagi pengguna, pemilik dan peminat kereta, kita juga begitu selesa dengan kereta-kereta buatan Jepun, sehinggakan pembuat kereta nasional kita membuat usahasama dengan syarikat kenderaan dari Jepun untuk menghasilkan kereta tempatan.

Sejak akhir-akhir ini, arena motosikal juga sudah mula menampakkan perlambakan kehadiran jentera-jentera dua roda dari China. Jika kita masih ingat, ia dimulai dengan motosikal skuter. Skuter dari Taiwan telah mula menghadirkan diri dalam pasaran tempatan, serta tidak lama selepas itu, penjenamaan semula oleh pembuat dan pengedar motosikal tempatan MODENAS dengan pembuat skuter terbaik dunia dari Taiwan (Kymco).

Kini, beberapa jenama dari China (selain Austria dan India) sudah mula dijual atas nama syarikat dan jenama mereka, melalui pengedar-pengedar tempatan dalam usaha bersaing dengan motosikal-motosikal jenama dari Jepun. Bagi rakyat Malaysia pula, keyakinan terhadap jentera-jentera dari China sudah mula bertambah apabila motosikal-motosikal yang ditawarkan dilihat mempunyai teknologi tinggi, perkhidmatan selepas jualan yang meningkat baik dan yang paling menarik, harga pasaran jauh lebih murah daripada motosikal-motosikal Jepun.

PENAMPILAN
WMoto ES250i adalah satu daripada jenama yang berada di bawah kumpulan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. Mforce diketahui mengedar jenama-jenama motosikal yang berkait rapat dengan jenama-jenama dari China seperti Benelli (jenama Itali yang dimiliki dan diusahakan dari China), SYM, CF Moto, Moto Morini (juga jenama Itali yang beroperasi di China), QB Motors, dan sudah tentu, WMoto.

Skuter WMoto ini secara fizikalnya tidak jauh beza dengan skuter-skuter 150cc dalam pasaran tempatan. Saiznya yang ‘comel’ tetapi dipadankan dengan jentera 250cc (244.3cc), Silinder Tunggal, SOHC, serta berkeupayaan untuk menghasilkan 21hp pada 8,500rlm dan tork maksimumnya adalah 21Nm pada kadar 6,500rpm. Sejukan cecair menjadi satu daripada keupayaan skuter ini. Hanya daripada fakta atas kertas ini, anda sudah boleh membayangkan keupayaan skuter ini – fizikal 150 tetapi keupayaan enjin 250!

Rekaan lampu hadapan jenis projektor, menyerlahkan lagi ‘kecomelan’ skuter WMoto.

Lampu hadapannya adalah daripada jenis projektor sementara lampu untuk hari siang (Day Running Lights) menggunakan LED. Selain kebolehan untuk menyinar terang dan menyuluh jalan raya pada waktu malam, ia menampilkan reka bentuk yang modern dan sporty.

Mungkin sudah menjadi kemestian untuk model-model skuter terkini, WMoto ES250i ini juga didatangkan dengan sistem tanpa kunci (Smartkey system), di mana anda hanya perlu membawa kunci penggera motosikal dalam kocek dan anda boleh melakukan operasi motosikal dengan hanya memulas tuas yang berada di tengah skuter ini. Saya mencuba memulas tuas operasi tersebut tanpa kunci penggera berdekatan, ternyata ia ‘terkunci’ dan tidak boleh dinyalakan. Sistem ‘keyless’ ini selalunya diperkenalkan oleh scooter yang berjenama dari Jepun atau Itali, kini sudah menjadi sistem mampu milik.

Jika kita lihat pada roda-rodanya, ternyata ia dibekalkan dengan roda 13 inci depan dan belakang. Kelihatan juga sistem ABS dibekalkan untuk membantu kuasa memberhenti yang baik, dan seperkara menarik, ES250i dibekalkan dengan sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS – Tyre Pressure Monitoring System), untuk membolehkan si penunggang sentiasa peka tentang keadaan tekanan angin dalam tayar.

Dari sudut kosmetik, ES250i mempunyai tarikan sendiri, rupa bentuk yang moden dan peralatan-peralatan yang digunakan juga moden dan diperlukan oleh seseorang penunggang dan peminat skuter. Meter kombinasi antara digital dan analog turut memberikan keunikan kepada rupa paras skuter ini.

PENUNGGANGAN
Ia adalah sebuah skuter. Muktamad!

Seperti mana-mana skuter yang berada di pasaran, sama ada jenama lain dari Taiwan, China, Jepun mahupun Itali, perasaan ketika menunggangnya tetap sama. Sistem gear CVT (automatik) dan penggunaan tali sawat atau belting ketika penunggangan juga dirasakan sama sahaja.

Kalau dari tadi saya asyik memuji rupa parasnya, namun setelah menunggangnya selama hampir dua minggu, saya rumuskan skuter ini sangat sesuai untuk dimiliki oleh penunggang wanita. Ini kerana, bukan sahaja saiznya yang agak ‘sebaya’ dengan skuter 150cc di pasaran, tetapi kerana posisi handle barnya yang agak terkebelakang dan dipadankan dengan pelana yang rendah serta kusyen yang lembut, sesuai untuk fizikal wanita tempatan.

Saya mempunyai ketinggian 183cm atau 6 kaki. Ia menjadi satu punca ketidakselesaan menunggang skuter ini dalam jangka masa yang lama akibat daripada kombinasi posisi penunggangan ini. Faktor handlenya serta dengan pelana tempat duduk, menyebabkan posisi saya sedikit membongkok dan kaki seperti terlipat. Selain ketidakselesaan pada tulang belakang dan punggung, ia sedikit sebanyak mengganggu keseronokan saya menunggangnya.

Melainkan anda berukuran dalam 5’5”- 5’7”, anda akan mendapati kedudukannya agak selesa dan menepati saiz anda. Kerana itulah saya sangat mengesyorkan model ini untuk penunggang wanita. Selain rupa bentuknya yang sporty, ia dipadankan dengan enjin 250cc yang membolehkan anda bersaing sama laju dengan penunggang-penunggang skuter yang lain.

Pengambilan selekoh agak tidak mengecewakan kerana suspensi hadapan daripada KYB sementara penyerap hentakan berkembar di belakang agak cukup baik berfungsi walaupun menunggang bersama pembonceng. Namun begitu, saiz diameter tayarnya yang agak kecil (13 inci), sila berhati-hati ketika melalui selekoh-selekoh.

Dari segi prestasi enjinnya, seperti yang saya utarakan tadi, ia antara faktor yang mengujakan tentang skuter ini. Ia mampu berdaya saing dari segi pecutan, terutama daripada nisbah kuasa terhadap berat. Pulas sahaja pendikit dan ia mampu untuk melonjakkan anda dengan lebih laju lagi, atau ketika ingin memotong kenderaan di hadapan dengan mudah.

Perkara wajib ada pada skuter, ruang penyimpanan barangan di bawah pelana.

KESIMPULAN
ES250i ini mempunyai potensi besar. Rupa fizikal yang moden, enjin yang berkuasa, harga pasaran yang kompetitif (RM13,888 sebelum cukai jalan dan insurans). Mforce menjanjikan perkhidmatan selepas jualan yang konsisten melalui pengedar-pengedar sah yang semakin bertambah di seluruh negara. Adalah menjadi harapan saya sebagai penggemar motosikal tegar, fakta ini didukung penuh oleh Mforce sampai bila-bila untuk menambah keyakinan orang ramai terhadap jentera-jentera dari China.

Namun, skuter menarik ini tidak terlepas daripada beberapa faktor yang saya rasakan boleh diperbaiki. Pertama, dari segi posisi handle bar, ia sepatutnya jenis boleh laras bagi membolehkan bakal pemiliknya datang dari pelbagai saiz dan ketinggian. Kusyen pelana juga perlu diperbaiki supaya lebih kenyal dan boleh membuatkan pemiliknya menunggang berjam-jam dalam keseronokan.

Ruang penyimpanan bawah pelana juga agak kecil isipadunya, mungkin kerana saiz fizikal yang agak ‘kurus’ dan kecil molek. Nampun, ketidakupayaannya menyimpan helmet penuh muka atau helmet bervisor yang biasa, agak mengecewakan.

Sebagai ulasan teguran terakhir, jentera skuter ini perlu mempunyai “counter balancer” yang lebih efisien (lebih besar) kerana terdapat gegaran pada handle apabila dalam keadaan melahu (idling). Selain daripada bunyi enjin yang agak kasar, ia agak menghasilkan getaran (vibration) ketika berhenti di lampu isyarat atau simpang-simpang. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!