JOHOR BAHRU: Syarikat Taiwan, Wiwynn Corporation mengukuhkan pelaburannya di Johor dengan menubuhkan sebuah fasiliti pembuatan papan litar bercetak dengan nilai pelaburan RM300 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, pengoperasian fasiliti itu di Senai Airport City, mampu mewujudkan kira-kira 1,100 peluang pekerjaan.
Katanya, pelaburan yang dibawa masuk itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih banyak syarikat teknologi.
Kerajaan negeri percaya bahawa ekosistem yang lengkap untuk industri tertentu adalah kunci untuk menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi.
“Wiwynn Corporation mula bertapak di Johor kira-kira tujuh bulan lalu dengan nilai pelaburan sebanyak RM200 juta untuk menyediakan kemudahan pembuatan rak pelayan yang mewujudkan 500 pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Secara keseluruhan, nilai pelaburan Wiwynn Corporation di negeri ini termasuk pelaburan Fasa II sebanyak RM500 juta yang mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan untuk rakyat Johor.
“Pelaburan ini penting bagi Johor kerana fasiliti Wiwynn di sini berfungsi sebagai hab serantau mereka di Asia Pasifik dan akan meletakkan Johor dalam peta global sebagai pangkalan pembuatan infrastruktur berkaitan pusat data,” katanya selepas majlis pecah tanah pelaburan Fasa II Wiwynn Corporation di Senai Airport City, semalam.
Dalam pada itu, Ting Han berkata, Johor mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM2.24 bilion dalam sektor pembuatan bagi suku pertama tahun ini.
Menurutnya, jumlah itu mencatatkan peningkatan kira-kira 30 peratus berbanding nilai pelaburan yang diterima bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu RM1.7 bilion.
Walaupun berdepan cabaran disebabkan pandemick Covid-19, pelaburan dalam sektor pembuatan di Johor menunjukkan trend yang positif.
“Pada 2020, pelaburan bernilai RM6.784 bilion telah dicatat di Johor dan angka itu meningkat 2.5 peratus kepada kira-kira RM7 bilion tahun lalu.
“Ini bukti bahawa pelabur tempatan dan asing terus mengiktiraf Johor kerana lokasinya strategik di rantau Asia Pasifik, memiliki infrastruktur bertaraf dunia seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kapasiti modal insan serta kerajaan yang mesra perniagaan,” katanya. – UTUSAN










