Senheng peruntuk capex RM74 juta - Utusan Malaysia

Senheng peruntuk capex RM74 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senheng New Retail Berhad (Senheng) optimis untuk meningkatkan bahagian pasarannya dalam sektor peruncitan elektronik, disokong perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM74.3 juta bagi menaik taraf dan mengembangkan kedai runcitnya, serta mempertingkatkan rangkaian pergudangan dan pengedarannya.

Pengerusi Eksekutifnya, Lim Kim Heng berkata, kumpulan berada di landasan untuk memenuhi sasaran pelancaran kedai tahun ini, sambil merebut lebih banyak peluang di tengah-tengah pemulihan dalam perbelanjaan pengguna. 

“Ini akan menyokong sasaran kami untuk menggandakan bahagian pasaran kumpulan daripada 13 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada 2025.

“Perkembangan terkini termasuk tiga jenama runcit kami yang diperbaharui, Grand senQ di Paradigm Mall Johor Bahru, senQ Elite di Pavilion Elite Bukit Jalil dan Grand Senheng Elite di SS2, di sini. Ini mewakili kedai terbesar dan paling moden kami setakat ini.

“Peningkatan dan pembesaran kedai runcit yang berterusan akan melengkapkan integrasi kami untuk melancarkan inisiatif pemasaran digital yang diperibadikan, e-dagang, ekosistem Aplikasi Senheng, serta logistik yang cekap. 

“Faktor-faktor ini digabungkan untuk membentuk omnichannel beli-belah yang memberikan pengalaman memuaskan, sekali gus membezakan kami daripada pesaing kami dalam sektor peruncitan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kim Heng, majoriti capex akan digunakan untuk melancarkan sebanyak 21 kedai baharu atau dinaik taraf pada tahun ini yang berjumlah RM49 juta. 

Ujarnya, format kedai terbaharu kumpulan secara purata memperoleh 30 hingga 50 peratus lebih tinggi jualan setiap kedai, berbanding dengan kedai Senheng dan senQ sedia ada. 

“Bilangan kedai baharu untuk 2022 mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah 61 cawangan yang dirancang menjelang 2024.

“Baki RM25.3 juta lagi akan digunakan untuk memperoleh tanah seluas 2.9 ekar di Bandar Bukit Raja, Klang, dekat sini yang akan menyokong pengembangan dan peningkatan masa depan pergudangan dan rangkaian pengedaran kumpulan,” ujarnya.

Tambah beliau, kumpulan juga melabur dalam teknologi baharu untuk memacu kepuasan pelanggan yang dipertingkatkan.

“Sebagai sebuah organisasi yang dipacu teknologi, kami terus menerima pakai penyelesaian teknologi terkini antaranya automasi pemasaran dikuasakan kecerdasan buatan (AI), perdagangan perbualan, automasi e-dagang dan teknologi aplikasi mudah alih. 

“Semua ini membolehkan kecekapan operasi dari segi pengendalian insiden perkhidmatan semasa dalam pemasaran,” ujarnya.

Capex kumpulan akan dibiayai oleh dana yang diperoleh melalui Tawaran Awam Permulaan baru-baru ini pada Bursa Malaysia, dan dilengkapi dengan dana yang dijana secara dalaman serta pinjaman bank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya