Pengeluaran getah asli menurun 20% - Utusan Malaysia

Pengeluaran getah asli menurun 20%

PENGELUARAN getah asli menurun pada April, namun jumlah eksport meningkat. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia merosot 20 peratus kepada 22,498 tan pada April 2022 berbanding 28,106 tan pada Mac, terutama disebabkan musim luruh.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli berkurangan sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun berbanding 23,013 tan pada April 2021.

“Pengeluaran komoditi itu pada April 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.1 peratus) berbanding sektor estet (11.9 peratus).

“Jumlah stok getah asli pada April 2022 menurun sebanyak 4.1 peratus kepada 297,673 tan berbanding 310,433 tan pada Mac 2022, katanya.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.5 peratus, diikuti kilang pengguna getah (7.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Walau bagaimanapun, Mohd. Uzir berkata, eksport getah Malaysia berjumlah 58,755 tan pada April 2022, meningkat 10.2 peratus berbanding 53,328 tan pada Mac 2022.

Ujarnya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport NR iaitu berjumlah 39.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2022, diikuti Amerika Syarikat (11.3 peratus), Finland (4.5 peratus), Mesir (3.2 peratus) dan Iran (2.5 peratus).

Jelasnya, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.2 bilion pada April 2022, meningkat 8.6 peratus berbanding RM2.0 bilion pada Mac 2022.

“Sentimen penurunan pasaran getah disumbangkan oleh kerugian di pasaran hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan situasi lembap akibat sekatan ketat Covid-19 di China, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan, kekurangan cip di peringkat global yang berterusan serta tekanan inflasi seperti dihuraikan dalam Malaysian Rubber Board Digest yang diterbitkan pada April lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN