PETALING JAYA: Bursa Malaysia kembali diniagakan rendah semalam kerana para pelabur memilih sikap berhati-hati menjelang penilaian ekonomi terkini oleh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS).
Pada pukul 5 petang semalam, penanda aras indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 20.70 mata kepada 1,460.58 daripada 1,473.40 pada awal sesi dagangan.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 760 berbanding 196, manakala 322 kaunter tidak berubah dan 1,001 kaunter tidak diniagakan.
Pada 9 pagi semalam, mata wang tempatan berada pada tahap 4.4190/4225 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.4190/4220.
Ringgit kemudian ditutup pada tahap 4.4200/4250.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kejatuhan bursa dan ringgit kemungkinan disebabkan spekulasi bahawa Fed AS akan menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 mata asas, kenaikan tertinggi dalam 28 tahun.
“Itu akan menyebabkan mata wang dolar AS mengukuh berbanding mata wang dunia termasuk ringgit.
“Pada masa yang sama, kenaikan kadar faedah di AS akan memperlahankan aktiviti ekonomi di AS, sekali gus memberi impak kepada Bursa Malaysia kerana status AS sebagai antara rakan dagang utama Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kadar faedah terbaharu AS dijangka naik sekali ganda daripada sekarang berikutan reaksinya pada kenaikan inflasi yang tinggi iaitu mencecah 8.6 peratus pada Mei.
Justeru katanya, kenaikan faedah ini dijangka menyebabkan kos pinjaman meningkat dengan ketara sekali gus menyekat perniagaan daripada berkembang ke tahap baharu.
“Kesannya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dijangka menguncup kerana dipengaruhi dasar kewangan AS. Ekonomi negara-negara Eropah juga melaporkan kenaikan inflasi yang tinggi disebabkan krisis Russia-Ukraine yang berpanjangan.
“Disebabkan itu, Malaysia sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka tidak dapat mengelak daripada terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia yang akan berlaku dalam masa terdekat. Ini dibuktikan dengan aliran pasaran modal negara seperti Bursa Malaysia dan penurunan mata wang tempatan,” ujarnya.
Tambah beliau, peningkatan mata wang dolar AS juga selain daripada melonjakkan harga komoditi utama dunia, turut menyebabkan barang dan perkhidmatan daripada perniagaan AS menjadi mahal dan bakal mengurangkan permintaan.
“Justeru, ini akan juga menyekat perkembangan syarikat-syarikat AS.
“Sebagai ekonomi terbesar dunia, apa sahaja perkembangan yg berlaku kpd AS memberikan kesan yang besar kepada dunia. Mata wang dolar AS juga merupakan mata wang utama perdagangan global dunia dan menjadi kayu ukur harga barangan dan komoditi utama dunia terutama minyak mentah, emas dan besi,” katanya. – UTUSAN










