Nilai jualan sektor pembuatan catat peningkatan - Utusan Malaysia

Nilai jualan sektor pembuatan catat peningkatan

NILAI jualan sektor pembuatan Malaysia bertambah baik pada April 2022, terutama industri pembuatan komputer. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia bertambah baik pada April 2022 apabila mencatat peningkatan 13.2 peratus pada RM147.9 bilion berbanding bulan sama tahun lalu, dipacu subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik tumbuh 21.9 peratus, terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

“Pengembangan itu juga didorong subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (14.9 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.7 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

“Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.4 peratus daripada jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 14.5 peratus, manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 10 peratus pada April 2022 berbanding April 2021.

“Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan trend eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing meningkat 2.6 peratus dan 1.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Uzir, jumlah pekerja sektor Pembuatan pada April 2022 adalah seramai 2.29 juta orang, meningkat 2.5 peratus berbanding 2.24 juta orang pada April 2021.

Jelasnya, peningkatan ini disumbangkan oleh produk peralatan elektrik dan elektronik (5.2 peratus), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (3.0 peratus) serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.7 peratus).

Tambah beliau, gaji dan upah yang dibayar pula adalah berjumlah RM7.7 bilion, meningkat 4.5 peratus atau RM329.2 juta pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Di samping itu, nilai jualan setiap pekerja meningkat 10.4 peratus kepada RM64,562 berbanding bulan yang sama tahun lalu iaitu RM58,454. 

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,367 pada April 2022.

“Bagi tempoh Januari hingga April 2022, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 12.9 peratus kepada RM563.2 bilion berbanding April 2021.

“Bilangan pekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus kepada 2.29 juta orang manakala gaji dan upah meningkat 4.2 peratus kepada RM31.2 bilion.

“Nilai jualan per pekerja bagi empat bulan pertama tahun 2022 tumbuh 10.1 peratus dengan merekodkan RM245,799,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN