Negara terima FDI RM48.1 bilion tahun lalu - Utusan Malaysia

Negara terima FDI RM48.1 bilion tahun lalu

PELANCONGAN antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia meningkat kepada RM48.1 bilion pada 2021 berbanding RM13.3 bilion pada tahun sebelumnya manakala pelaburan di luar negeri mencatatkan RM19.7 bilion berbanding RM10.2 bilion pada 2020.

Menurut Jabatan Perangkaan, sehingga akhir tahun 2021, FDI terkumpul di Malaysia mencatatkan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM788.8 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia berikutan aktiviti ekonomi mulai pulih secara perlahan-lahan selepas terkesan daripada pandemik Covid-19.

“Berdasarkan Laporan Pelaburan Dunia oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), aliran FDI ke negara-negara membangun di Asia meningkat sebanyak 19 peratus iaitu AS$619 bilion pada 2021.

“Oleh itu, pelaburan asing Malaysia pada 2021 meningkat untuk mencatatkan RM48.1 bilion, tertinggi sejak 2016,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas berkaitan prestasi FDI mengikut sektor, beliau berkata, sektor pembuatan mengembang sebanyak RM22.5 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM29.5 bilion yang menyumbang kepada aliran masuk terbesar dalam FDI.

Ujarnya, sektor pembuatan menarik 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan, terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

Kata beliau, perkhidmatan merupakan penyumbang kedua tertinggi terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan yang menerima dalam bentuk ekuti dan dana pelaburan saham.

“Rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI di Malaysia bagi 2021 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM22.5 bilion, kebanyakannya diterima dari Singapura, Jepun dan Republik Korea yang berjumlah RM17 bilion.

“Rantau Asia juga turut menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM413.1 bilion, diikuti Eropah (RM207.7 bilion) dan Amerika Syarikat (RM153 bilion) pada akhir 2021.

“Akhir tahun lalu, kedudukan FDI telah meningkat sebanyak RM103.9 bilion untuk mencatatkan nilai RM788.8 bilion.

“Sektor perkhidmatan merupakan penerima terbesar pada 49.2 peratus atau RM388.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong runcit.

“Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi sebanyak 42.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutamanya dalam subsektor Elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

“Seperti mana prestasi FDI, aliran Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri (DIA) meningkat sebanyak RM9.5 bilion untuk merekodkan RM19.7 bilion disebabkan oleh pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya lagi.

Jelas Mohd. Uzir, pembuatan memintas perkhidmatan sebagai sektor utama bagi DIA, menyumbang 40.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

Katanya, Eropah kekal sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada tahun 2021 dengan sumbagan sebanyak 54.9 peratus terutamanya ke Belanda dan United Kingdom. Secara keseluruhannya, pelaburan ini kebanyakannya disalurkan ke Belanda, Kanada dan Indonesia.

“Pemulihan berkala ekonomi global selepas terkesan daripada pandemik Covid-19 telah menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi bagi kedua-dua FDI dan DIA berbanding pada tahun sebelumnya.

“Secara purata, pulangan pelaburan bagi syarikat FDI meningkat kepada RM0.13 daripada RM0.06 pada 2021 bagi setiap RM1.00 nilai pelaburan.

“Pada masa yang sama, syarikat Malaysia menerima RM0.11 bagi setiap RM1.00 pelaburan di luar negara. Sektor pembuatan memperoleh pendapatan yang tertinggi bagi kedua-dua FDI dan DIA,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya