PETALING JAYA: “Jika Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menghentikan orang ramai daripada merokok, tindakan pertama adalah menghentikan jualan rokok seludup.
“Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan penguatkuasaan dengan kuasa khas mereka di bahawa Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sebelum memperkenalkan polisi baharu yang akan membebankan perniagaan yang sah dan seterusnya meningkatkan lagi perdagangan rokok seludup di Malaysia.”
Itu penegasan Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Peniaga-peniaga Barang-barang Runcit Malaysia (PPPBRM), Hong Chee Meng mengulas hasrat Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan jualan rokok dan semua jenis produk tembakau kepada individu yang lahir selepas 2005.
Hasrat itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland Januari lalu.
Kata Khairy, larangan itu adalah bagi menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) dan berharap dapat meluluskan undang-undang tersebut tahun ini.
Chee Meng berkata, larangan penjualan kepada individu dilahirkan selepas 2005, pembungkusan standard dan larangan mempamerkan produk tembakau akan memberi kesan kepada industri dan boleh menyebabkan perdagangan rokok haram menjadi semakin teruk, yang pada masa ini mendominasi lebih separuh daripada keseluruhan pasaran.
“Memandangkan Malaysia kekal sebagai negara pertama di dunia bagi rokok seludup, kerajaan perlu memberi tumpuan bagi menangani masalah ini dahulu sebelum memperkenalkan tindakan baharu.
“Situasi rokok haram sekarang adalah teruk dengan 6 daripada 10 paket rokok di pasaran merupakan rokok seludup. Memperkenalkan pembungkusan standard bagi produk tembakau akan menyebabkan satu lagi bentuk rokok haram iaitu rokok tiruan.
“Pada masa yang sama, rokok seludup tidak akan mematuhi syarat, dan menyebabkan pengguna menjauhi produk sah. Oleh itu, hanya perdagangan rokok seludup yang akan mendapat faedah daripada tindakan ini manakala pengguna akan terus menggunakan produk tidak sah,” katanya.
Chee Meng berkata, peruncit telah melaksanakan sepenuhnya larangan jualan kepada golongan berusia kurang 18 tahun dengan menyifatkan ia adalah mudah kerana kebiasaannya pembeli di bawah umur boleh dikesan dengan lebih jelas.
“Walaubagaimanapun, dengan pengharaman larangan jualan kepada sesiapa dilahirkan selepas 2005, peruncit perlu memeriksa tarikh lahir termasuklah ke atas golongan dewasa.
“Kami bimbang dengan beban dan tanggungjawab yang akan dikenakan ke atas anggota kami. Tugas untuk memeriksa akan jatuh kepada peruncit. Mereka perlu memeriksa tarikh lahir setiap pembeli dewasa untuk memastikan sama ada mereka lahir sebelum atau selepas 2005. Selain itu, transaksi akan mengambil masa yang lebih lama dan boleh menyebabkan perbalahan dengan pembeli,” tambah beliau. – UTUSAN










