Harga rumah dijangka naik 20 peratus - Utusan Malaysia

Harga rumah dijangka naik 20 peratus

HARGA bahan binaan termasuk simen, besi meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga bahan binaan yang semakin tinggi dijangka memberi kesan langsung kepada kenaikan harga rumah sehingga 20 peratus, seterusnya menyebabkan harga purata rumah kediaman kekal tinggi dan di luar kemampuan rakyat. 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan harga global terhadap bahan binaan terutamanya simen dan besi tidak mengecualikan Malaysia dan mendorong kepada kenaikan harga rumah dalam masa terdekat ini. 

“Dijangkakan peningkatan harga bahan pembinaan akan memberi kesan kepada harga rumah antara lima ke 20 peratus secara purata.

“Ini kerana, kontraktor dan pemaju juga terpaksa menyerap kenaikan kos ini yang memberikan kesan negatif kepada keuntungan operasi mereka. Perkara ini sememangnya tidak dapat dielakkan sehingga memberi kesan kepada pengguna akhir iaitu rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, media melaporkan harga semua bahan binaan mencatatkan peningkatan berbanding setahun lalu dan akan kekal tinggi dalam jangka sederhana, menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam Laporan Indeks Kos Binaan (IKS), Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bar keluli meningkat 20 peratus dengan harga purata bar keluli sebanyak RM3,910 setiap tan metrik berbanding RM3,258 per tan metrik pada Mei 2021.

Ujarnya, simen mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus pada Mei 2022 dengan RM20.89/50 kilogram (kg) berbanding RM18.61/50 kg pada Mei 2021. 

Aimi Zulhazmi berkata, sektor perumahan dan pembinaan merupakan antara pemangkin ekonomi negara kerana ia melibatkan banyak sektor industri-industri lain serta mempengaruhi jumlah guna tenaga buruh dan kadar pengangguran negara. 

Namun ujarnya, permintaan untuk rumah juga dijangka perlahan kerana kenaikan kadar faedah pinjaman baru-baru ini, malah penarikan insentif Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) turut memberikan kesan negatif kepada industri perumahan dan pembinaan negara. 

“Justeru, kenaikan harga bahan pembinaan dan pengurangan permintaan dijangka menjejaskan sektor pembinaan ini tahun ini dan dua tahun kehadapan. Kesukaran mendapat pekerja asing juga menjadi masalah kepada kontraktor-kontraktor untuk melengkapkan projek.

“Ini akan mengurangkan jumlah pembinaan rumah baharu dan rumah yg tidak terjual. Oleh itu, kenaikan harga bahan pembinaan serta pengurangan permintaan dijangka akan memperlahankan sektor perumahan dan pembinaan serta mengurangkan produktivi dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, harga rumah yang tinggi juga disebabkan oleh pelbagai faktor lain seperti premium tanah yang tinggi, permintaan dari pembeli luar negara dan juga pembeli spekulator. 

“Kos pembiayaan pinjaman bank yang tinggi juga menyebabkan kos keseluruhan untuk memiliki rumah menjadi amat tinggi.

“Tambahan pula, kenaikan harga barangan binaan sebenarnya telah bermula pada akhir 2019 lagi apabila berlaku perang tarif anrara Amerika Syarikat dan China. Harga besi dan simen meningkat berterusan apabila pada akhir 2021 apabila ekonomi dunia mulai pulih kerana permintaan yang mendadak. 

“Gangguan bekalan seperti penutupan kilang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kekurangan rantaian pengangkutan yang meningkatkan kos lojistik telah melipat gandakan kenaikan harga bahan asas pembinaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.