FTA: Malaysia-Australia perkukuh kerjasama

FTA: Malaysia-Australia perkukuh kerjasama

MOHAMED Azmin Ali menerima kunjungan hormat Penny Wong di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Australia dapat diteliti semula agar sesuai dengan tuntutan semasa selain memperteguhkan lagi kerjasama.

Perkara itu antara isu yang dibincangkan oleh Menteri Kanan Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Menteri Luar Australia, Penny Wong, di sini semalam.

“Kami bersetuju hubungan diperkukuhkan malah saya mendapat undangan untuk ke Australia pada September depan bagi meneliti bidang dan sektor baharu yang boleh diteroka,” jelasnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Wong yang ketika ini dalam lawatan rasmi sulung selama tiga hari ke Malaysia sejak semalam sebelum bertolak ke Sabah.

Wong yang dilahirkan di Sabah pada 1968, dilantik sebagai Menteri Luar di bawah Perdana Menteri, Anthony Albanese pada 23 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, mereka membincangkan serius perjanjian perdagangan bebas ASEAN, Australia dan New Zealand (AANZFTA) yang menjadi keutamaan negara.

“Kami bersetuju agar proses rundingan naik taraf itu dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini kerana ia penting kepada Malaysia selaras pemulihan pasca Covid-19,” tambahnya.

Situasi tersebut amat perlu kerana keadaan ekonomi dan pasaran Malaysia ujarnya, agak kecil yang memerlukan AANZFTA bagi melonjakkan pertumbuhan perdagangan global semasa.

Setakat ini jelasnya, Malaysia sudah meratifikasi 15 FTA dengan pelbagai pihak meliputi masing-masing tujuh bertaraf dua hala dan lapan lagi berstatus serantau.

Justeru, penyertaan Malaysia dalam FTA dengan Australia dijangka memberi manfaat besar terutama dari segi pemansuhan duti import dan kemasukan ke pasaran asing yang lebih luas.

Proses penelitian AANZFTA itu kata Mohamed Azmin, perlu disegerakan bagi memberi banyak peluang kepada pemain tempatan sejajar naik taraf kepada rakan kerjasama komprehensif.

Menyentuh bidang diberikan tumpuan, beliau berkata ia melibatkan sektor elektrik dan elektronik terutamanya semikonduktor, industri kimia, automotif, aeroangkasa serta ekonomi digital.

“Langkah ini membolehkan pengurangan kebergantungan pekerja asing apabila Australia membawa masuk pelaburan yang berkualiti tinggi dan pemindahan teknologi baharu,” tegasnya.

Beliau optimis hubungan diplomatik erat dengan Australia akan menguntungkan Malaysia yang memerlukan banyak pelaburan langsung asing skala besar untuk memulihkan balik ekonomi.

Wong turut memberikan komitmen Australia bagi membantu dapat menarik pelabur negara itu datang ke Malaysia sambil mewujudkan ekosistem mesra perniagaan dan rangkaian global.

“Lima sektor baharu itu akan diberikan lebih perhatian oleh pihak kementerian untuk menjana banyak pelaburan asing dan bakal menjadi pendekatan baharu kepada Malaysia,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×