Eksport sawit melonjak 26.7 peratus - Utusan Malaysia

Eksport sawit melonjak 26.7 peratus

Permintaan terhadap minyak sawit Malaysia dijangka terus meningkat berikutan aktiviti ekonomi lebih rancak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah eksport sawit melonjak 26.7 peratus kepada 1.36 juta tan bulan lalu apabila lebih banyak pengimport mencari bekalan dari Malaysia sebagai sumber alternatif selepas larangan eksport Indonesia.

MIDF Research berkata, walaupun Indonesia telah menarik balik larangannya pada 19 Mei lalu, pihaknya menjangkakan perang Russia-Ukraine yang berterusan dan permintaan bertambah baik berikutan aktiviti ekonomi yang lebih rancak akan terus meningkatkan permintaan.

“Walaupun sektor perladangan memasuki kitaran pengeluaran lebih baik, tahap pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) terus rendah pada 1.46 juta tan berbanding 1.57 juta tan pada tahun sebelumnya, terutama disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada semua negeri.

“Selain itu, untuk tempoh lima bulan terkumpul, hasil buah tandan segar (BTS) menurun kepada 5.63 tan sehektar daripada 5.81 tan sehektar disebabkan kesan cuaca buruk yang memburukkan masalah kekurangan buruh.

“Kami menjangkakan pengeluaran akan bertambah baik pada separuh kedua 2022 apabila masalah kekurangan buruh dapat diselesaikan,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota kajian, semalam.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan ‘positif’ untuk sektor tersebut dengan harga sasaran baharu, RM5,500 satu tan.

“Kami menjangkakan harga MSM akan kekal momentum menaik sepanjang tahun ini disokong oleh harga minyak edibles yang lebih tinggi di sebalik kebimbangan bekalan di tengah-tengah krisis Russia–Ukraine dan larangan eksport Indonesia yang diperluas.

“Selain itu, prospek pengeluaran rendah untuk kacang soya berikutan kemarau di Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina serta tinjauan permintaan yang berdaya tahan terhadap peningkatan aktiviti ekonomi turut meningkatkan harga MSM,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, MIDF Research menjangkakan harga MSM akan berkurangan pada separuh kedua 2022 dengan kadar yang sangat perlahan.

“Memandangkan harga MSM yang lebih tinggi daripada jangkaan pada separuh pertama 2022 serta faktor yang dinyatakan di atas, kami menjangkakan harga MSM akan kekal meningkat sepanjang tahun disokong oleh bekalan inventori yang ketat dalam industri perladangan tempatan kami.

“Oleh itu, kami menyemak semula ramalan harga MSM 2022 sebanyak 27.9 peratus kepada RM5,500 satu tan daripada RM4,300 satu tan sebelumnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN