PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka akan terus berlegar sekitar 1,430 mata minggu ini.
Manakala ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pula dianggarkan bergerak dalam jajaran yang sempit dalam lingkungan RM4.40, menurut penganalisis ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran dilihat memberi fokus kepada kemungkinan ekonomi global yang lebih perlahan pada separuh tahun kedua berikutan suasana kadar faedah di negara-negara maju yang tinggi di samping tekanan inflasi yang kian meningkat.
“Kenaikan harga bahan mentah serta gangguan rantaian perniagaan dijangka memberi kesan kepada keuntungan syarikat-syarikat.
“Kenaikan inflasi juga mengurangkan kuasa beli para pengguna, menjadikan mereka lebih berhati-hati dalam berbelanja.
“Justeru, pasaran ekuiti dan matawang masih diselubungi oleh faktor ketidakpastian ekonomi yang kian menular,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 5 petang semalam, indeks penanda aras FBM KLCI menokok 1.42 mata kepada 1,438.12 daripada 1,436.70 kelmarin.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 546 berbalas 365, manakala 393 kaunter tidak berubah dan 1,004 kaunter tidak diniagakan.
Ringgit pula diniagakan pada 4.4010/4050 berbanding 4.4030/4045 Jumaat lalu. – UTUSAN










