PETALING JAYA: Anak syarikat Khazanah Nasional Berhad, Cenergi SEA Berhad (Cenergi) telah menandatangani perjanjian pakatan perniagaan strategik (SBAA) dengan Fabulous Sunview Sdn. Bhd. (Sunview) bagi membangunkan projek solar fotovoltaik berskala utiliti.
Kerjasama itu juga melibatkan penyediaan penyelesaian tenaga mampan bersepadu untuk membantu pelanggan komersial dan perindustrian mencapai matlamat nyahkarbon dan kelestarian.
Di bawah kerjasama strategik itu, Cenergi berperanan sebagai pemaju projek, pelabur dan operator manakala Sunview, yang merupakan peneraju perkhidmatan solar akan terlibat sebagai rakan kongsi bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Ketua Pegawai Eksekutif Cinergi, Hairol Azizi Tajudin berkata, kerjasama itu menandakan satu lagi kejayaan bagi Cenergi, berikutan terbitan program Sukuk Hijau Korporat tahun lalu.
“Baru-baru ini, syarikat juga dianugerahkan dengan lima projek feed-in-tariff (FiT) biogas dengan jumlah kapasiti 10.8MW oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
“Kami teruja untuk bergabung tenaga dengan organisasi bereputasi seperti Sunview untuk menawarkan penyelesaian tenaga mampan kepada pelanggan di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Pada masa yang sama, membantu mempercepatkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka dan menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada 40 peratus menjelang 2035 dan ke arah status neutral karbon seawal 2050,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua pihak secara agresif membangunkan lebih 25 megawatt (MW) projek solar di Malaysia, termasuk pemasangan solar atas bumbung kos sifar untuk pelanggan korporat dan perindustrian serta ladang solar berskala besar (LSS).
Berdasarkan pencapaian itu, kedua-dua syarikat berhasrat untuk meningkatkan kerjasama strategik mereka dengan menambah lebih banyak projek solar sehingga 100 MW sama ada program LSS, skim New Enhanced Dispatched Agreement (NEDA) atau Perjanjian Pembelian Tenaga Maya masa depan (Skim VPPA).
Pada masa sama mereka juga menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya projek solar di atas bumbung dengan kapasiti 15 MW dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, pihaknya komited untuk menyediakan penyelesaian RE terbaik bagi memenuhi visi dan matlamat Cenergi.
“Selain daripada projek komersial dan perindustrian, kami kini sedang membangun kira-kira 11MWp ladang solar tanag di bawah skim NEDA untuk Cenergi dan berharap dapat melaksanakan lebih banyak projek untuk Cenergi pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










