Ubah strategi demi kembali bangkit tinggi - Utusan Malaysia

Ubah strategi demi kembali bangkit tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TEMPOH dua tahun mendepani situasi getir akibat impak isu wabak Covid-19 telah menjadikan Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA lebih berdaya saing dalam perniagaannya.

Meskipun berstatus lima bintang dan diuruskan oleh rangkaian perhotelan global terbesar, Accor, premis milik penuh Tabung Haji yang dibuka pada 2018 itu turut mengharungi detik sukar.

Ikuti temu bual bersama Pengurus Besarnya, Wan Enderi Mohd. Saad mengenai perancangan hala tuju dan prospek potensi hotel yang berimej patuh syariah ini dengan wartawan Utusan Malaysia, Amree Ahmad dan Jurugambar, Faiz Alif Zubir. 

 

UTUSAN: Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang dua tahun lalu ketika pandemik?

WAN ENDERI: Ada dua yang dikenal pasti iaitu pengurangan sumber pendapatan ekoran pengurangan besar jumlah pelancong termasuk domestik yang mengunjungi hotel lebih 50 peratus.

Kejatuhan ini amat ketara berbanding sebelum itu pada 2019 yang beri impak kepada semua hotel seluruh dunia apabila kadar penginapan hanya 30 peratus daripada normalnya 80 peratus.

Cabaran kedua pula ialah kos operasi bertambah apabila berlaku kenaikan caj bahan mentah bagi kegunaan restoran dalaman yang dianggarkan 14 peratus tetapi pelanggan pula merosot.

Akibatnya aliran wang tunai dalam jangka pendek juga terjejas kerana banyak pembekal kami memerlukan pembayaran dibuat segera berbanding sebelum wabak yang lazim boleh ditunda.

Bagaimana pula dari segi kadar harga bilik apabila kurang pelanggan begitu drastik?

Secara purata ia jatuh daripada RM290 kepada serendah RM130 dan itupun masih kurang sambutan selain berlaku lagi pengurangan pendapatan penganjuran acara sebanyak 55 peratus.

Kami memang terkena tempias apabila pintu sempadan antarabangsa ditutup kerana majoriti besar pelanggan hotel ini biasanya penumpang transit untuk penyambungan penerbangan lain.

Tidak ketinggalan kami juga kehilangan puluhan ribu bakal jemaah umrah dan haji apabila dua tahun kerajaan memutuskan tiada penerbangan penghantaran berskala besar ke Tanah Suci.

Selain itu, tiada kru kabin firma penerbangan asing datang menginap kecuali kru pesawat kargo dan kurier yang bertugas melakukan penghantaran bekalan perubatan dan vaksin Covid-19.

Adakah Movenpick KLIA menukar model bisnes diadaptasi suasana norma baharu?

Memang perlu pun dan kami bersyukur, pihak pengurusan Accor yang berpangkalan di Perancis bertindak pantas dengan melaksanakan pelbagai program keselamatan dikenali ‘All Safe’.

Inisiatif protokol kesihatan ini turut meliputi kesemua 5,298 hotel di lebih 110 negara sama ada segmen mewah, premium, skala pertengahan dan ekonomi demi cegah penularan wabak.

Justeru, pelanggan kami tidak perlu berasa bimbang kerana piawaian ditetapkan amat ketat namun kami di Movenpick KLIA turut menawarkan kelainan dari segi pelbagai aktiviti riadah.

Tidak ramai tahu, kami juga menyediakan banyak kawasan terbuka untuk penganjuran majlis keraian termasuk latihan ‘team-building’ korporat, perkahwinan, mesyuarat dan sebagainya.

Bagaimana dari sudut penampilan imej kontemporari yang didakwa agak Islamik?

Mungkin ada berlaku salah faham dan saya setelah menyertai hotel ini pada Januari tahun lalu telah merangka banyak penambahbaikan bagi mengubah pandangan tidak tepat sebegitu.

Ini termasuk penganjuran acara dan tema termasuk corak perhiasan di restoran selain ruang lobi disesuaikan mengikut musim perayaan tertentu dan telah berjaya menarik pelbagai kaum.

Barangkali imej hotel ini yang kekal patuh syariah disebabkan namanya sinonim terdapat di banyak negara Islam lain terutamanya paling terkenal di kota suci Makkah dan Madinah sendiri.

Keadaan ini tidak dapat dinafikan kerana Arab Saudi ada kepentingan besar untuk semua rangkaian 83 hotel dan resort jenama Movenpick yang ada di seluruh dunia kecuali benua Amerika.

Apakah rahsia Movenpick KLIA mampu mengharungi cabaran dengan baik?

Tabung Haji selaku pemilik banyak bantu mengurangkan bebanan kos operasi terutama upah dan utiliti sebanyak RM3.9 juta tahun lalu, sekali gus menjaga kebajikan hampir 200 petugas.

Bayangkanlah sepanjang tempoh getir Perintah Kawalan Pergerakan, tiada pekerja pun dibuang waima gaji juga tidak dipotong, di sebalik kami terpaksa mengawal ketat kos operasi harian.

Mujur hotel ini pernah dijadikan antara hotel kuarantin ketika kemuncak pandemik selain digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin skala besar sebab lokasi luas sesuai penduduk sekitar.

Kami juga bersyukur kedudukan strategik hotel ini tanpa ada kesesakan trafik selain banyak kemudahan parkir membolehkan kami mengadaptasi kepelbagaian tugas untuk kesemua staf.

Apakah strategi dirancang bagi memastikan hotel ini kekal berdaya saing?

Kena sentiasa bersedia dengan mengatur banyak rancangan bisnes bukan setakat ada pelan A, B, C bahkan jika boleh sehingga Z kerana dunia kini hidup dalam era norma amat baharu.

Antara contohnya pengenalan menu baharu yang lebih kepada hidangan cita rasa tempatan dan kemudian boleh dijual secara atas talian dengan penghantaran terus ke rumah pelanggan.

Para pekerja hotel juga digalakkan bergotong royong menanam sendiri sayur yang boleh dituai segera selain menawarkan sebahagian daripada 333 bilik kami dengan kadar mampu dihuni.

Bahkan, kolam renang di hotel ini turut dibuka kepada penduduk luar dengan caj minimum untuk masyarakat datang beriadah bersama-sama ahli keluarga dan rakan pada sepanjang masa.

Bagaimana pula dengan harapan dan prospek jangka panjang pasca pandemik?

Selaras dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April lalu susulan peralihan kepada fasa endemik, kami berasa optimis dengan kemasukan pelancong luar negara.

Sebagai anak Melayu pertama dilantik Accor Academy sebagai pengurus besar salah sebuah hotelnya pada 2011, saya sedia manfaatkan pengalaman ini bagi mengoptimumkan potensi.

Apatah lagi banyak aktiviti bertaraf antarabangsa yang bakal dianjurkan semula sekitar KLIA antaranya GP Moto di Litar Sepang selain kemungkinan besar penyambungan Formula One.

Kami juga bersedia menyantuni puluhan ribu bakal jemaah haji untuk musim kali ini ekoran pembukaan kembali ibadah itu kepada warga asing selepas kali terakhirnya pada 2019 lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya