Jangan sewenang-wenang melabel makanan sebagai ‘sampah’ - Ojen Aiwahhh - Utusan Malaysia

Jangan sewenang-wenang melabel makanan sebagai ‘sampah’ – Ojen Aiwahhh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Ojen Aiwahhh kembali menjadi perhatian apabila tercetus perang mulut antara dirinya dengan atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali di platform Thread.

Kontroversi itu dipercayai bermula selepas Johan atau lebih mesra disapa Jojo tampil dalam sebuah podcast dan menyifatkan kunafa sebagai makanan ‘sampah’ kerana kandungannya yang didakwa tidak sihat.

Walaupun kenyataan itu dibuat secara umum, rata-rata netizen mengaitkannya dengan jenama Kunafa Aiwahhh milik Ojen atau nama sebenarnya, Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli.

Menurut Ojen ketika dihubungi, dia mengakui berasa penat dan tertekan memikirkan kontroversi terbaharu yang melandanya.

“Apa lagi yang tak kena? Ada sahaja yang tidak puas hati dengan saya dan jenama Kunafa Aiwahhh. Terbaharu, Jojo pula mengeluarkan kenyataan berunsur ‘rage bait’ atau provokasi dengan melabelkan kunafa sebagai makanan sampah.

“Tambahan pula hari ini umat Islam sedang berlumba-lumba mengejar pahala sempena Hari Arafah dan esok pula kita menyambut Hari Raya Aidiladha. Tetapi timbul pula isu yang tidak perlu,” katanya.

Ojen berkata, dia masih boleh menerima jika Jojo sekadar menyifatkan kunafa sebagai manisan yang kurang sihat dan bukannya melabel makanan itu sebagai ‘sampah’.

“Kalau tidak suka kunafa sekalipun, dia boleh bercakap dengan lebih beradab dan jangan sewenang-wenangnya melabel makanan sebagai sampah.

“Janganlah menghina makanan kerana ia menjadi sumber rezeki kepada ramai orang termasuk saya dan kakitangan yang mencari nafkah menerusi perniagaan kunafa,” katanya.

Menurutnya lagi, Jojo turut menghantar mesej langsung ke akaun media sosial miliknya dengan menyatakan semua kunafa adalah sampah.

Malah, Ojen mendakwa Jojo turut menyentuh soal perwatakannya yang lembut dengan menyifatkan dirinya mempunyai testosteron rendah.

“Dia siap menulis biarlah kadar bayarannya rendah selepas kalah dalam kejohanan baru-baru ini daripada memiliki testosteron rendah.

“Saya balas dengan mengatakan, biarlah testosteron rendah sekalipun, asalkan adab terhadap makanan itu tinggi. Dalam Islam sendiri tidak menekankan soal testosteron tinggi atau rendah. Kalau mahu dipandang tinggi, tinggikan adab, bukan ego. Melayu kaya dengan adab,” katanya.

Ojen menyifatkan tajaan kepada fighter ini bagi membantu atlet dan pejuang yang berkorban masa serta tenaga di gelanggang, memandangkan sukan tersebut kadang kala kekurangan sokongan kewangan dan tajaan korporat.

Tambah Ojen, Jojo juga didakwa memuat naik poster berunsur sinis yang menggambarkan dirinya bakal bertarung Muay Thai dengan usahawan itu.

“Sudah tentu dia akan menang jika bertarung dengan saya. Tetapi bagi saya, kekalahan sebenar adalah apabila ada yang melabel sumber rezeki orang lain sebagai sampah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ojen turut mendedahkan dia pernah menawarkan tajaan kepada Jojo kerana mahu menyokong arena sukan tempatan, namun pelawaan itu ditolak kerana tidak selari dengan imej atlet berkenaan.

“Tetapi hakikatnya dia sendiri pernah mengakui meminati dan menikmati kunafa saya sebelum ini.

“Saya juga pernah menaja lima atlet termasuk Kabilan Jelevan yang berada di bawah Rentap Muay Thai milik keluarga Jojo.

“Saya menaja atlet dan filem aksi seperti Tarung: Unforgiven bukan semata-mata mahu keuntungan, tetapi kerana mahu membantu industri sukan dan hiburan tempatan.

“Jadi saya harap Jojo boleh menunjukkan empati dan semangat positif, bukannya menjatuhkan orang lain termasuk saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN