BESUT: Seorang guru lelaki yang dipercayai melakukan salah laku seksual terhadap pelajarnya di daerah ini, ditahan polis hari ini.
Difahamkan, suspek berusia 42 tahun ditahan kira-kira pukul 3.25 petang ini di kediaman keluarganya di Besut.
Tangkapan itu dilakukan selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh dua pelajar terhadap guru terbabit. Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu mengesahkan isu salah laku seksual melibatkan seorang guru di sebuah sekolah di Setiu yang tular dalam tindakan siasatan pihak kementerian. – UTUSAN










