Tambat ringgit beri kesan positif dan negatif - Utusan Malaysia

Tambat ringgit beri kesan positif dan negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penambatan ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat akan memberikan ruang kepada negara untuk menstabilkan ringgit sekali gus dapat menumpukan kepada proses kemampanan ekonomi.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, penambatan ringgit juga dapat memberi isyarat jelas kestabilan ringgit ditambat kepada mata wang yang stabil.

“Dalam konteks ini, dolar AS, mudah untuk pelabur, pengeluar, pengeskport dan pengimport mengira risiko dan mengurangkan risiko turun naik yang ganas.

“Ketika ini, apabila ringgit terus merudum, Bank Negara Malaysia (BNM) terpaksa terlibat dalam pasaran terbuka dengan membuat pembelian ringgit dan menawarkan mata wang asing negara.

“Kesannya boleh dilihat jelas kepada rizab mata wang asing negara yang menyusut seperti dilaporkan baru-baru ini.

“Persoalannya, sampai bila kita mampu melakukan aktiviti sedemikian?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dari segi kekurangan penambatan ringgit pula, beliau berkata, ia mampu mengakibatkan inflasi atau hiperinflasi di jangka masa panjang.

Selain itu, apabila ringgit ditambat, ia akan hilang ‘serinya’, dikeluarkan daripada senarai dan tidak lagi diterima luas di kebanyakan negara.

“Tambatan mata wang selalunya bersifat sementara, BNM harus mengkaji secara mendalam dan membuat keputusan cepat dan tepat,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Gabenor BNM, Dr. Sukudhew (Sukkhdave) Singh berkata, menambat ringgit kepada dolar AS mungkin berpotensi mendorong negara ke dalam krisis kewangan.

Dalam catatan di akaun LinkedIn rasminya baru-baru ini, beliau memberi amaran menambat kadar pertukaran bukan satu keputusan yang boleh dipandang ringan kerana ia mempunyai kesan ketara kepada ekonomi dan pasaran kewangan Malaysia.

“Sekarang dolar AS mengukuh berbanding banyak matawang, termasuk ringgit, kita sekali lagi mendengar gesaan tempatan supaya bank pusat menambat ringgit kepada dolar.

“Apa yang mereka sering lupa untuk nyatakan ialah apabila kita telah menambat ringgit kepada dolar AS, kita perlu mempertahankan tambatan itu.

“Sistem kewangan dan bank pusat perlu memenuhi semua permintaan untuk dolar AS pada kadar pertukaran yang ditambat.

“Jika permintaan itu tidak dapat dipenuhi, pasaran gelap untuk dolar AS akan berkembang, menjejaskan tambatan rasmi,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya