Ringgit jatuh: Harga barang naik, peniaga terjejas

Ringgit jatuh: Harga barang naik, peniaga terjejas

Zainab Abdul Aziz (kiri) melayan pelanggan yang datang ke kedainya di Padang Waremart, Padang Besar, Parlis. – UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Rata-rata peniaga di Padang Besar iaitu salah satu lokasi pelancongan terletak di sempadan Malaysia Thailand mengakui kejatuhan nilai ringgit memberi kesan kepada mereka.

Seorang peniaga, Zainab Abdul Aziz, 25, berkata, kesan kejatuhan mata wang Malaysia mula dirasai sejak dua minggu lalu sekali gus turut memberi kesan kepada kenaikan cukai keluar masuk barang.

Ekoran itu, katanya, dia tidak boleh menjual barangan pada harga lama dan terpaksa menaikkan harga sekitar RM1 hingga RM3 berikutan nilai ringgit yang menyusut itu.

“Sebelum ini, saya menjual pati tom yam seberat 900 gram pada harga RM15 namun terpaksa menaikkan harga kepada RM18 berikutan kesan kejatuhan mata wang Malaysia.

“Selain itu, sekotak mee segera jenama Serda yang sering digunakan untuk menghasilkan ‘kerabu mee segera’ juga terpaksa dijual pada harga antara RM23 hingga RM24 sekarang berbanding hanya RM21 sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Padang Waremart, semalam.

Tambah Zainab, kenaikan harga beberapa produk berkenaan juga disebabkan peningkatan upah pengangkutan barangan dari Thailand yang biasanya dibayar menggunakan ringgit.

“Kejatuhan nilai ringgit itu sememangnya memberi kesan kepada kenaikan harga barangan yang bukan sahaja membebankan peniaga malah kepada para pengguna,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mariah Dolah, 41, berkata, kebanyakan harga produk Thailand bergantung kepada nilai semasa mata wang kedua-dua negara.

Katanya, sekiranya nilai ringgit mengukuh, harga jualan barang import dari negara jiran akan turun.

“Amalan harga jualan mengikut harga tukaran mata wang tersebut telah diamalkan sejak dahulu lagi dan kaedah itu antara tarikan pengunjung ke Padang Besar.

“Kejatuhan tersebut mula dikesan sejak kebelakangan ini dan tidak tahu sampai bila situasi tersebut akan berterusan atau sebaliknya”, katanya.

Semalam, ringgit kekal di­niagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat pada 4.3870/4.3955. Ringgit juga lemah berbanding bath Thailand pada 12.7067/12.19 bagi 100 bath.
Kali terakhir ringgit didagangkan di bawah 4.0000 berbanding dolar ialah pada 18 Jun 2018 iaitu pada kadar 3.9980/3.9930. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN