PETALING JAYA: Pasaran buruh di Malaysia pulih pada suku pertama 2022, dengan bilangan jawatan bertambah sebanyak 148,520 berbanding suku tahun yang sama sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, pada tempoh berkenaan, sejumlah 8.57 juta jawatan dilaporkan manakala perbandingan suku ke suku, meningkat sebanyak 41,400 jawatan memandangkan perniagaan terus beroperasi semasa fasa Pelan Pemulihan Negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu adalah selari dengan pengembangan aktiviti global dan domestik, didorong oleh liputan vaksinasi yang lebih meluas dan peningkatan dalam perdagangan barangan.
Selain itu katanya, Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2022 yang diterbitkan pada 10 Mei 2022 juga menunjukkan kadar pertumbuhan tahun ke tahun bilangan penduduk bekerja yang memberangsangkan pada suku tahun ini.
“Bilangan jawatan diisi pada suku tahun ini juga merekodkan peningkatan sebanyak 142,060 ribu jawatan kepada 8.39 juta jawatan berbanding sebanyak 8.25 juta jawatan pada suku pertama 2021. Sementara bagi kadar pengisian jawatan dan kekosongan jawatan, kedua-duanya kekal masing-masing pada 97.8 peratus dan 2.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas kedudukan jawatan diisi pada suku pertama 2022, Mohd. Uzir berkata, derdasarkan analisis tahun ke tahun mengikut aktiviti ekonomi, sektor Pembuatan dan Perkhidmatan terus merekodkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 3.6 peratus (ST4 2021: 2.7%) dan 1.9 peratus (ST4 2021: 1.0%) atau bersamaan dengan 2.24 juta jawatan dan 4.42 juta jawatan.
Sebaliknya, sektor Pertanian, Perlombongan & Pengkuarian dan Pembinaan yang merangkumi 20.6 peratus daripada jumlah jawatan diisi kekal dalam aliran menurun.
“Dari segi kategori kemahiran, jawatan diisi sebahagian besarnya dalam kategori separuh mahir yang merekodkan 5.24 juta jawatan atau bersamaan dengan 62.5 peratus diikuti oleh kategori mahir dengan 2.07 juta (24.7%) dan berkemahiran
rendah sebanyak 1.07 juta jawatan (12.8%),” katanya.
Ketua Perangkawan merumuskan bahawa, prestasi keseluruhan permintaan buruh menunjukkan bahawa ia sedang menuju kepada pemulihan yang lebih baik dan mampan dalam tempoh terdekat. – UTUSAN










