PETALING JAYA: Usaha OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengutip bayaran di tengah-tengah pandemik, membolehkan bank berkenaan dipilih sebagai pemenang anugerah Perbankan Digital Singapore Business Review pada tahun ini.
OCBC Bank telah diiktiraf kerana peranannya membantu PKS terus mengutip bayaran menggunakan penyelesaian inovatif yang disediakan dengan OCBC OneCollect.
Majlis anugerah telah diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini memasuki tahun ke-4 penganjurannya, mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang kerana sumbangan masing-masing yang luar biasa dalam usaha mencapai inovasi teknologi.
Mengulas kejayaan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Transaksi OCBC Bank, Chong Lee Ying berkata, langkah terbaharu untuk melanjutkan PayNow QR kepada sektor logistik ternyata membawa manfaat besar.
“Kami sukacita dimaklumkan bahawa pelanggan logistik kami, terutamanya PKS yang terlibat dalam perniagaan penghantaran peringkat terakhir, mendapati PayNow QR memberikan manfaat besar kepada mereka. Bukan sahaja perkhidmatan kami membantu menjimatkan masa, tetapi juga mengukuhkan seluruh operasi dengan memudahkan lagi proses pembayaran dan kutipan setiap hari.
“Walaupun menghadapi pandemik yang berlarutan, para pelanggan kami masih boleh beroperasi walaupun dengan penutupan sempadan kerana perkhidmatan ini menggalakkan bayaran tempatan menerusi Duitnow QR, dan bayaran rentas sempadan dari Singapura menerusi PayNow QR,” katanya dalam kenyataan.
Lee Ying berkata, semasa pandemik, pelanggan terpaksa menangani banyak isu, lebih-lebih lagi dengan sekatan pergerakan diperketat.
Kata beliau, mengendalikan pasukan perkhidmatan besar yang terdiri daripada penunggang, pemandu trak dan kakitangan perkhidmatan penghantaran agak mencabar.
“Sesetengah penyedia perkhidmatan penghantaran meminta penunggang menggunakan dana sendiri untuk membeli barangan di restoran dan kedai sebelum menuntut bayaran balik daripada penyedia perkhidmatan.
“Oleh yang demikian, bayaran kepada penunggang mestilah cukup pantas untuk mereka memenuhi permintaan tersebut. Menggunakan API untuk membayar penunggang mengelakkan masa menunggu untuk bayaran dalam talian yang dibuat menerusi fail atau secara kelompok yang dimuat naik, lantas membolehkan dana dibayar serta-merta kepada mereka,” jelasnya. – UTUSAN









