PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menyerahkan semua data berhubung gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan dari 29 April hingga 9 Mei untuk mendapatkan maklumat yang objektif, tepat dan menyeluruh berkenaan isu tersebut.
Ini berikutan MAVCOM telah menerima pelbagai aduan berkaitan syarikat-syarikat penerbangan yang membuat perubahan secara sembarangan pada jadual penerbangan tanpa memberi notis yang mencukupi kepada pengguna.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pengguna yang menghadapi isu penundaan penerbangan, isu semasa penerbangan dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya diminta untuk membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan berkenaan.
Selain itu katanya, pengguna digalakkan mengemukakan aduan mereka kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan.
“Pada masa sama, MAVCOM sedang memperhalusi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) untuk memperkemas serta menambah baik lagi perlindungan pengguna, terutamanya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.
“Isu ini merupakan perkara yang mendesak dan MAVCOM akan terus memastikan pemain industri kekal mematuhi MACPC dan hak-hak pengguna terus ditegakkan,” katanya dalam kenyataan.
Selaras dengan mandat MAVCOM untuk menegakkan dan memelihara hak-hak pengguna penerbangan, suruhanjaya telah memohon data termasuk maklumat berkenaan penerbangan berjadual yang telah dirancang oleh semua syarikat penerbangan berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula yang telah berlangsung semasa tempoh perayaan tersebut.
Diperkenalkan pada 2016 dan diperkukuhkan lagi pada tahun 2019, MACPC bertindak sebagai titik rujukan bagi melindungi kepentingan pengguna penerbangan.
Di bawah MACPC, syarikat penerbangan dikehendaki untuk memaklumkan pengguna mengenai sebarang perubahan dalam status penerbangan secepat mungkin.
Untuk penundaan penerbangan selama dua jam atau lebih, syarikat penerbangan mesti menyediakan makanan serta memberikan pengguna akses kepada panggilan telefon serta internet.
Di samping itu, bagi penundaan penerbangan selama lima jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan dan pengangkutan, jika diperlukan oleh pengguna manakala jika masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga perlu dibuat oleh syarikat penerbangan. – UTUSAN










